Bersempena dengan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Kali Ke-3 Pertubuhan Rabithah Alawiyah Malaysia, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli berangkat ke majlis tersebut yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada petang 1 Ogos 2026 (Sabtu). Menerusi majlis yang bermakna itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan titah perasmian kepada para tetamu dan perwakilan yang hadir. Yang berikut diperturunkan titah baginda.
Bismillahirahmanirahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah Aza Wajalla, kerana dengan limpah kurnia dan inayat-Nya jua, maka dapatlah kita bersama-sama pada petang yang sungguh indah lagi berbahagia ini.
Saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Pertubuhan Rabithah Alawiyah Malaysia atas undangan kepada saya bagi menyempurnakan perasmian mesyuarat agung pertubuhan pada hari ini. Saya juga mengalu-alukan kehadiran dif-dif kehormat terutama sekali kepada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, para habib dan semua yang sudi meluangkan masa untuk hadir bersama-sama pada hari ini dari seluruh Malaysia. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada kepimpinan pertubuhan kerana berjaya mengadakan mesyuarat agung tahunan seperti yang disyaratkan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia.
Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah mengilhamkan dan merealisasikan penubuhan Pertubuhan Rabithah Alawiyah Malaysia. Rabithah bermaksud pertalian atau ikatan, manakala Alawiyah merujuk keluarga Alawi yang berasal dari Hadramaut, Yaman, dengan susur galur keturunan melalui Sayyidina Hussein Radhiallahu Anhu, putera kepada Sayyidina Ali Radhiallahu Anhu dan Sayyidatina Fatimah Az-Zahra Radhiallahu Anha, puteri Rasulullah SAW. Penubuhan pertubuhan ini bertujuan untuk menghimpunkan keluarga Alawi di Malaysia di bawah satu wadah bagi mengeratkan silaturahim, memperkukuh ukhuwah dan menyelaraskan usaha demi kepentingan bersama.
Saya juga difahamkan bahawa Pertubuhan Rabithah Alawiyah Malaysia merupakan gabungan pertubuhan Rabithah Alawiyah di negeri-negeri seluruh Malaysia. Walaupun baru ditubuhkan pada tahun 2023 dan kini mengadakan Mesyuarat Agung Kali Ke-3, pelbagai program dan inisiatif telah berjaya dilaksanakan. Berdasarkan taklimat yang dipersembahkan kepada saya semasa lawatan ke pejabat pertubuhan pada 15 Julai 2025, pencapaian pertubuhan ini membuktikan komitmen tinggi barisan kepimpinan dan seluruh ahlinya.
Generasi muda perlu diberi kefahaman yang jelas mengenai susur galur keturunan mereka. Mereka juga perlu memahami bahawa nasab bukan sekadar warisan keluarga, tetapi turut membawa amanah untuk mencontohi nilai ilmu, akhlak dan keperibadian yang baik. Usaha memelihara nasab bukan bertujuan untuk berbangga dengan keturunan atau membezakan darjat sesama umat Islam, sebaliknya bertujuan untuk memelihara salasilah keluarga, mendokumentasikan sejarah serta memastikan generasi akan datang mengenali asal usul mereka berdasarkan sumber yang sahih.
Saya mencadangkan agar satu konvensyen mengenai peranan dan sumbangan keluarga Alawi di Malaysia dianjurkan. Konvensyen tersebut boleh menghimpunkan kajian serta perkongsian tentang sumbangan keluarga Alawi dalam bidang agama, pendidikan, politik, ekonomi, sosial, penulisan dan pelbagai bidang lain yang telah memberikan manfaat kepada negara.
Dalam memelihara nasab, kita hendaklah sentiasa menjadikan ketakwaan kepada Allah SWT sebagai prinsip utama. Islam mengajar bahawa kemuliaan seseorang di sisi Allah SWT diukur berdasarkan ketakwaan, keimanan dan amal soleh, dan bukannya keturunan semata-mata. Nasab Ahlul Bait sememangnya wajar dihormati dan dikasihi sebagaimana yang dituntut oleh syarak. Namun begitu, penghormatan tersebut hendaklah sentiasa berpandukan al-Quran, al-Sunah dan berada dalam batas syariat, tanpa melampaui batas.
Mengakhiri titah, saya menyeru agar warisan yang paling utama untuk diwarisi ialah kemurnian akidah, keutuhan tauhid, keluhuran akhlak dan istiqamah dalam mengikuti sunah Rasulullah SAW. Warisan inilah legasi sebenar yang perlu dipelihara dan diteruskan oleh generasi keluarga Alawi pada hari ini dan pada masa hadapan.
Saya dengan ini merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-3 Pertubuhan Rabithah Alawiyah Malaysia.
Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.
Demikianlah titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam majlis perasmian tersebut. Semoga pesanan dan saranan bermakna baginda, khususnya dalam mengimbangi rasa hormat pada susur galur keturunan dengan pegangan ketakwaan dan paksi syariat, dapat dijadikan pedoman oleh seluruh umat Islam di Malaysia.
(Disesuaikan daripada titah perasmian Mesyuarat Agung Kali Ke-3 Pertubuhan Rabithah Alawiyah Malaysia).
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia