Kangar: Pemimpin dalam sesebuah organisasi memegang amanah besar dalam memacu budaya tadbir urus yang berintegriti.
Pemimpin yang adil, tegas dan berprinsip mampu membentuk persekitaran kerja yang profesional, bermaruah dan disenangi oleh masyarakat.
Pada masa yang sama, nilai kejujuran adalah teras dalam membina keyakinan awam terhadap sesebuah organisasi. Tanpanya, reputasi dan kredibiliti akan mudah tergugat.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Uthman bin Al-Affan, Kampung Surau, Utan Aji, Kangar.
Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Sempena program tersebut, MAIPs telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM105,000 kepada 150 orang asnaf terpilih yang disempurnakan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs melibatkan 75 orang anak kariah Kampung Surau dan 75 orang lagi anak kariah Kg Alor Redis.
Program Hijrah Minda serta penyaluran sumbangan ini merupakan antara inisiatif MAIPs dalam memperkukuh pembangunan insan dan memperkasa kesejahteraan golongan asnaf.
Selain membantu meringankan beban kewangan penerima, program ini turut bertujuan menyemai kesedaran untuk melakukan penghijrahan minda ke arah kehidupan yang lebih positif, berdaya saing serta berlandaskan nilai-nilai Islam.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia