Sekolah Sukan Perlis Menuju Fasa Akhir Pembinaan

Sekolah Sukan Perlis Menuju Fasa Akhir Pembinaan

Padang Besar – Projek Pembinaan Bangunan Sekolah Sukan Malaysia Perlis dan Kemudahan Lain telah mencapai kemajuan fizikal keseluruhan sebanyak 74 peratus, mengatasi sasaran jadual asal sebanyak 70.9 peratus.

Fasa pertama projek ini merangkumi pelbagai kemudahan akademik dan sukan yang komprehensif, termasuk 12 bilik darjah, makmal sains, makmal sains sukan, empat gelanggang badminton, gelanggang terbuka pelbagai guna, padang bola sepak, trek balapan serta lapang sasar memanah.

Turut dibina termasuk dua blok asrama yang mampu menempatkan sebanyak 224 orang pelajar, kuarters warden, dewan makan dan sebuah pusat Islam sementara.

Berdasarkan perancangan semasa, baki kerja pembinaan serta pembangunan infrastruktur dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung Ogos 2026.

Seterusnya, proses pengujian dan pentauliahan termasuk pengeluaran Sijil Penyiapan Pra-Projek (CPC) dijadualkan berlangsung sehingga Januari 2027 sebelum bangunan diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 14 Januari 2027.

Bagi pembangunan jangka panjang, fasa kedua projek ini dirancang melibatkan pembinaan blok akademik tambahan, surau dan pusat Islam kekal, kuarters tambahan serta kemudahan sukan berprestasi tinggi seperti lapang sasar, padang hoki sintetik dan padang ragbi.

Sekolah Sukan Malaysia Perlis dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan negeri dengan menyediakan prasarana pendidikan dan latihan bertaraf tinggi bagi melahirkan lebih ramai atlet muda berpotensi yang mampu mengharumkan nama Perlis dan Malaysia pada peringkat nasional serta antarabangsa.

Demikian dipersembah maklumkan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam sesi taklimat perkembangan projek yang dikongsikan oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), selaku kontraktor reka dan bina projek berkenaan sempena keberangkatan Baginda ke tapak pembinaan Sekolah Sukan Malaysia Perlis (SSMPs) di Bukit Chabang, Padang Besar baru-baru ini.

Keberangkatan Baginda yang disambut oleh Naib Presiden Eksekutif MRCB, YBhg. Datuk Haji Ishak Haji Mohamed ialah bersempena dengan Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kg. Bukit Chabang.

Program kayuhan amal ini merupakan pendekatan berterusan MAIPs dalam mendekati masyarakat dengan kerjasama ketua-ketua jabatan serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Melalui program ini, peserta bukan sahaja beriadah, malah berpeluang menziarahi dan menyampaikan bantuan secara terus kepada golongan asnaf di seluruh negeri.

Bersempena dengan program tersebut juga, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga penerima asnaf terpilih, iaitu Ibrahim Hussain, 56, serta Sampaka Mat Aris, 71, dan Sepiah Mat Akil, 77, yang masing-masing merupakan penduduk Kampung Baru Bukit Chabang.

Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi membantu meringankan beban kehidupan harian mereka.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.