KUALA LUMPUR, 8 Ogos 2026 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru umat Islam supaya sentiasa mengutamakan dan mencontohi sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan bagi memastikan pegangan mereka kekal berlandaskan manhaj Salafus Soleh.
Baginda bertitah, pemeliharaan sunnah perlu diterjemahkan secara syumul dan menyeluruh dalam kehidupan seharian, khususnya menerusi pemantapan akidah, ketelitian dalam ibadah serta penzahiran akhlak mulia.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menekankan kepentingan meneladani keperibadian luhur Rasulullah SAW menerusi penghayatan akhlak mahmudah, ketinggian budi pekerti serta menyemai ikatan ukhuwah Islamiah sesama Muslim.
Baginda bertitah, pembentukan ummah yang berdaya tahan serta penyebaran dakwah yang berkesan hanya dapat dicapai apabila tinggalan Rasulullah SAW dijadikan teras utama dalam mendepani pelbagai cabaran zaman.
Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin Putra menerima mengadap delegasi Maktab Daimi Rabitah Alawiyyin Indonesia dalam satu majlis di ibu negara baru-baru ini. Islam
Delegasi berkenaan diketuai Ketua Organisasi Maktab Daimi Rabitah Alawiyyin Indonesia, Syekhan Abdul Kader Assegaf.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail.
Pertemuan penuh muhibah itu menjadi platform membincangkan beberapa perkara strategik ke arah memperkukuh hubungan kedua-dua pihak, khususnya dalam aspek keilmuan, dakwah dan warisan.
Antara perkara dibincangkan ialah cadangan kunjungan Raja Muda Perlis ke Maktab Daimi Rabitah Alawiyyin di Jakarta sebagai langkah mempererat hubungan antara institusi selain membuka ruang kerjasama pada masa hadapan.
Perbincangan turut menyentuh cadangan menetapkan garis masa pelaksanaan program kerjasama yang dipersetujui bagi memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.
Selain itu, kedua-dua pihak membincangkan usaha memperkukuh jaringan silaturahim dan kerjasama dengan pihak yang mempunyai hubungan sejarah serta keturunan dengan institusi Raja-Raja di pelbagai negara.
Usaha itu antara lain bertujuan memelihara kesinambungan warisan, nilai keilmuan dan ukhuwah sejagat.
Pertemuan berkenaan diharapkan menjadi titik permulaan kepada hubungan lebih erat antara MAIPs dan Maktab Daimi Rabitah Alawiyyin Indonesia dalam usaha memartabatkan ilmu dan dakwah, selain memperkukuh jaringan kerjasama di peringkat serantau serta antarabangsa. Islam
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia