Pesta Air Antarabangsa bakal angkat Kuala Perlis ke pentas dunia

Pesta Air Antarabangsa bakal angkat Kuala Perlis ke pentas dunia

MELBOURNE, 11 Ogos 2026: Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 yang bakal berlangsung dari 4 hingga 6 September depan dijangka menjadi tarikan baharu dalam usaha mengangkat Kuala Perlis sebagai destinasi pelancongan pesisir bertaraf antarabangsa. DestinasiPelancong

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penganjuran pesta itu bukan sekadar meraikan tradisi maritim dan kehidupan masyarakat pesisir, malah mampu memperkukuh kedudukan Kuala Perlis sebagai destinasi pelancongan yang mempunyai identiti dan daya tarikan tersendiri.

Menurut baginda, acara itu turut membuka ruang lebih luas untuk memperkenalkan produk budaya, makanan, kraftangan serta hasil tempatan kepada pengunjung domestik dan antarabangsa, khususnya dari selatan Thailand.

“Penganjuran pesta ini mampu memberikan nilai tambah kepada usaha memperkasa sektor pelancongan dan ekonomi setempat,” titah baginda menurut kenyataan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis. Acara& Penyenaraian

Antara tarikan utama Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 ialah Pertandingan Perahu Naga dan Perahu Tradisional, Sukan Rakyat Pesisir, Pesta Gastronomi serta Ekspo Kraf Tempatan.

Pelbagai pengisian berteraskan warisan, sukan, gastronomi, seni dan budaya masyarakat setempat turut disusun sepanjang pesta tiga hari itu.

Baginda bertitah demikian sempena majlis Pra-Pelancaran Promosi Masakan Perlis di Roti Bar, Little Collins Street, Melbourne, baru-baru ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail; Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Dalam pada itu, Promosi Masakan Perlis yang dijadualkan berlangsung selama sebulan bermula 1 September ini bakal menjadi platform diplomasi makanan bagi memperkenalkan warisan kulinari negeri itu kepada masyarakat antarabangsa. Pulau& Pantai

Antara hidangan yang diketengahkan ialah Kurma Daging Perlis, masakan tradisional yang mempunyai identiti tersendiri menerusi tekstur daging empuk, kuah pekat dan beraroma serta gabungan rempah-ratus istimewa.

Promosi berkenaan bukan sahaja bertujuan memperkenalkan makanan tradisional, malah menjadi medium memartabatkan budaya dan seni kulinari Perlis di peringkat antarabangsa.

Ia sekali gus memberi peluang kepada masyarakat Australia serta komuniti antarabangsa mengenali kepelbagaian warisan makanan Perlis yang kaya dengan sejarah, budaya dan tradisi.

Promosi itu mendapat sokongan Roti Bar, restoran popular di Melbourne yang telah beroperasi sejak sembilan tahun lalu dan diusahakan Chef Ray Ulaganathan bersama Julin Tan.

Pasangan usahawan dari Malaysia itu turut mengusahakan Villas Restaurant yang mengetengahkan masakan India Selatan serta sebuah restoran baharu dikenali sebagai Canai di Prahran, Melbourne.

Penglibatan mereka dilihat mampu memperluaskan pengenalan terhadap warisan kulinari Perlis selain memperkukuh hubungan budaya Malaysia-Australia melalui diplomasi makanan.

Usaha mempromosikan Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 serentak dengan warisan kulinari negeri itu di Melbourne memperlihatkan pendekatan bersepadu menggunakan kekuatan pelancongan, budaya dan makanan untuk membawa nama Perlis ke peringkat antarabangsa.

Pendekatan itu juga berpotensi membuka lebih banyak ruang kepada produk tempatan serta Kuala Perlis untuk diketengahkan sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan unik Malaysia.

Foto: Ihsan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.