Raja Muda Perlis: Kebijaksanaan mesti mendahului kecanggihan teknologi

Raja Muda Perlis Kebijaksanaan mesti mendahului kecanggihan teknologi

KANGAR, 15 Ogos 2026 – Umat Islam perlu memiliki panduan ilmu yang sahih dan keupayaan menilai kesahihan maklumat dengan bijaksana ketika berdepan ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI), media sosial serta dunia tanpa sempadan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, cabaran terbesar umat pada hari ini bukan lagi kekurangan maklumat, sebaliknya kemampuan untuk menentukan kebenaran dan kesahihan sesuatu maklumat yang diterima.

Baginda bertitah, kepesatan penyebaran informasi merentasi sempadan menuntut umat Islam menjadikan ilmu yang sahih sebagai panduan supaya kebijaksanaan sentiasa mendahului kecanggihan teknologi.

Titah berkenaan disampaikan sempena program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Repoh, dekat sini, baru-baru ini.

Pada program sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyentuh mengenai tradisi Melayu yang menjadikan pantun sebagai wahana menyampaikan hikmah dan menyulam nilai budi dalam kehidupan masyarakat.

Baginda bertitah, kekuatan sesebuah tamadun bukan hanya dibina menerusi kecemerlangan ilmu, malah perlu diperkukuhkan dengan budaya wakaf yang mampu menjamin kesinambungan manfaat kepada generasi demi generasi.

Sementara itu, Kayuhan MAIPs Peduli merupakan antara pendekatan utama MAIPs untuk menjejaki, mengenal pasti dan menyantuni golongan asnaf di seluruh Perlis.

Pendekatan turun padang secara berkala itu membolehkan MAIPs melihat sendiri keadaan serta keperluan penerima, sekali gus memastikan kebajikan mereka diberikan perhatian sewajarnya.

Sempena program berkenaan, Raja Muda Perlis turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs berupa wang tunai keseluruhan RM700, Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah kepada tiga penerima asnaf.

Mereka ialah Rokiah Ismail, 70, dari Batu 1¼, Repoh; Phongphan Unaphak @ Azlina, 56, dari Kampung Repoh dan Zenap Arop, 79, dari Kampung Tepi Sungai, Repoh.

Program Kayuhan MAIPs Peduli akan diteruskan di seluruh negeri sebagai sebahagian komitmen MAIPs memperkukuh agenda kebajikan dan hubungan dengan masyarakat, selain memastikan golongan yang memerlukan tidak tercicir daripada menerima bantuan serta pembelaan sewajarnya.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.