Program Kayuhan Malaysia Merdeka 2026 Memperkukuh Ukhuwah Islamiah

Program Kayuhan Malaysia Merdeka 2026 Memperkukuh Ukhuwah Islamiah

Songkhla – Program Kayuhan Malaysia Merdeka 2026 yang diketuai oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM)Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bukan sekadar menyemarakkan semangat kemerdekaan dan membudayakan gaya hidup sihat, sebaliknya menjadi wadah memperkukuh ukhuwah Islamiah sejagat berteraskan konsep Ummatan Wahidah atau “Umat Yang Satu” di Wilayah Songkhla, Thailand.

Demikian perkara yang ditekankan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Encik Mohd Nazim Mohd Noor ketika mengiringi baginda dalam program yang turut disertai bersama-sama DYAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Turut menyertai program berkenaan ialah Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Tuan Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YBhg.Datuk Noor Azman Abdul Rahman; Penasihat Undang-undang Negeri Perlis, Yang Zaimey Yang Ghazali; Pegawai Kewangan Negeri Perlis, Encik Saharuddin Sarwan serta ketua-ketua jabatan Negeri Perlis.

Menurut Encik Mohd Nazim, program yang mengangkat tema Ummatan Wahidah ini turut diserikan dengan pengisian di sebuah lokasi persinggahan kayuhan, iaitu Masjid Darun Naim, Songkhla.

Rombongan yang disambut mesra oleh kepimpinan masjid berkenaan berpeluang menyantuni lebih 120 pelajar pengajian Islam hujung minggu, sekali gus menzahirkan peranan masjid sebagai pusat penyatuan fikrah, ilmu, dan silaturahim yang merentasi sempadan negara.

Jelasnya, Program Kayuhan Malaysia Merdeka yang mendapat kerjasama Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla ini turut menjadi kesinambungan kepada hubungan strategik yang telah lama terjalin antara MAIPs dengan Majlis Agama Islam di Selatan Thailand, khususnya dalam memperkukuh kerjasama yang berkaitan dengan hal ehwal Islam dan pembangunan masyarakat.

Dalam majlis tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs, turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada Imam Masjid Darun Naim, Anan Hemsanit dan Imam Masjid Ban Dan, Don Talib Sonjaroen bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dakwah serta memastikan kelancaran kelas fardu ain di kedua-dua masjid tersebut.

Sebelum itu, baginda bersama-sama para peserta kayuhan turut singgah melihat sendiri produk pembuatan perabot kayu yang dihasilkan oleh para penghuni Songkhla Provincial Prison.

Antara bidang kerjasama yang diberikan perhatian termasuk pembelajaran bahasa Melayu melalui Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Perlis, pengajian tulisan Jawi dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pemerkasaan industri halal, serta perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan hal ehwal Islam.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sekadar menggabungkan elemen riadah dan semangat kemerdekaan, malah menjadi platform memperkukuh persaudaraan, menyuburkan nilai Ummatan Wahidah, serta mempererat hubungan strategik dan kemasyarakatan antara Malaysia dengan Thailand.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.