ARAU, 1 Sept — Perlawanan persahabatan bola sepak VIP antara Istana FC dan MARA Mavericks FC sempena Sukan MARA Se-Malaysia Kali Ke-11 (SUKMAS XI) Perlis 2026 berakhir dengan keputusan seri 0-0 selepas kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyaksikan perlawanan yang berlangsung sengit di Stadium Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Kampus Arau.
Keberangkatan baginda berdua disambut Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Zulfikri Osman; Pengarah MARA Negeri Perlis, Mohd Norwawi Ibrahim dan Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr Ahmad Nizan Mat Noor.
Istana FC menampilkan barisan ketua serta pegawai kanan jabatan dan agensi kerajaan selain wakil sektor swasta di Perlis.
MARA Mavericks FC pula dibarisi Zulfikri bersama barisan pengurusan kanan MARA termasuk Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan), Zahari Aziz dan Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan), Dr Azmi Amat Murjan.
Sebelum sepak mula, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyaksikan pertukaran panji cenderamata antara kapten kedua-dua pasukan.
Istana FC diwakili Penolong Pengurus Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA), Mohamad Helmi Abdan manakala MARA Mavericks FC diwakili Pengarah Bahagian Pembiayaan Perniagaan MARA, Mohd Azam Jamaluddin.
Tuanku Syed Faizuddin Putra kemudiannya berkenan menyempurnakan sepak mula simbolik perlawanan berkenaan.
Pertemuan persahabatan itu menjadi antara pengisian khas SUKMAS XI Perlis 2026 yang berlangsung dari 30 Ogos hingga 3 September dengan penyertaan lebih 3,000 peserta daripada 14 kontinjen seluruh negara.
Kejohanan berkenaan mempertandingkan 15 acara sukan dan menghimpunkan warga MARA dari seluruh negara bukan sahaja bagi merebut kejuaraan keseluruhan, malah menjadi platform memperkukuh semangat kesukanan, disiplin, kerja berpasukan serta ukhuwah dalam kalangan warga MARA.