GUAR NANGKA, 1 Sept — Seramai 34 anggota Penjara Negeri Perlis berjaya menamatkan Cabaran Kayuhan 236 Kilometer (KM) yang dianjurkan sempena sambutan Hari Penjara Ke-236.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Program Penutup Cabaran Medal Kayuhan 236 KM Penjara Negeri Perlis di Dewan Serbaguna, Pusat Koreksional Perlis, Jalan Kok Klang, Guar Nangka, baru-baru ini.
Keberangkatan baginda disambut Pengarah Penjara Negeri Perlis, Penolong Kanan Komisioner Penjara Ab Nasif Sarahan dan Pengarah Pusat Koreksional Perlis, Penolong Komisioner Penjara Mohd Sabri Arshad.
Program berkenaan merupakan inisiatif kecergasan yang dilaksanakan menerusi siri kayuhan secara berperingkat sehingga peserta melengkapkan jarak keseluruhan 236 KM.
Ab Nasif berkata , cabaran itu turut disertai warga Penjara Negeri Perlis, anggota institusi keselamatan serta komuniti setempat.
Menurutnya, program berkenaan bukan sekadar menguji ketahanan fizikal peserta, malah menjadi platform membudayakan gaya hidup sihat, meningkatkan tahap kecergasan dan menyemarakkan semangat kebersamaan.
“Cabaran ini turut melibatkan penyertaan warga Penjara Negeri Perlis bersama warga institusi keselamatan serta komuniti setempat, sekali gus menjadi platform untuk membudayakan gaya hidup sihat, meningkatkan tahap kecergasan dan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan peserta,” katanya.
Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Cabaran Kayuhan 236 KM serta menyampaikan medal kepada peserta yang berjaya menamatkan cabaran berkenaan.
Ab Nasif berkata, kejayaan 34 anggota berkenaan mencerminkan komitmen dan kesungguhan warga Penjara Negeri Perlis dalam menyahut cabaran kecergasan.
“Pencapaian itu turut memperkukuh nilai disiplin, ketahanan fizikal serta semangat berpasukan dalam kalangan warga Penjara Negeri Perlis,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif seumpama itu wajar diteruskan bagi menggalakkan amalan hidup sihat selain mempererat hubungan antara warga institusi keselamatan dengan masyarakat menerusi aktiviti riadah yang inklusif dan memberi impak positif.
Program berkenaan turut mencerminkan komitmen Penjara Negeri Perlis dalam memperkasa kesejahteraan warga kerja menerusi aktiviti kecergasan fizikal yang mampu membentuk individu lebih berdisiplin, berdaya tahan serta mempunyai semangat kerja berpasukan yang tinggi.