DA NANG, 3 Sept — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh pendekatan pendidikan berasaskan keperluan sebenar industri menerusi jaringan strategik yang kini melibatkan lebih 300 pemain industri dalam pelbagai sektor teknologi dan kejuruteraan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kekuatan hubungan berkenaan membolehkan UniMAP bukan sekadar menyediakan pendidikan untuk memenuhi keperluan industri, malah membangunkan pendidikan bersama industri.
Baginda bertitah, kerjasama erat universiti dan industri amat penting bagi memastikan kurikulum, penyelidikan serta pembangunan bakat sentiasa bergerak seiring dengan perubahan teknologi dan keperluan pasaran pekerjaan.
“UniMAP bukan sekadar menyediakan pendidikan untuk industri, tetapi membina pendidikan bersama industri.
“Pendekatan ini membolehkan perkembangan teknologi dan kehendak semasa industri dibawa terus ke dalam ekosistem pembelajaran mahasiswa,” titah Baginda.
Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP ketika mengetuai delegasi ‘International Leadership Mobility Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)’ mengadakan lawatan ke Vietnam-Korea University of Information and Communication Technology (VKU), The University of Danang, di sini.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor 1 UniMAP, beserta anakanda-anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Pro Canselor 2 UniMAP dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan Baginda dan delegasi disambut oleh Naib Rektor VKU, Dr Huỳnh Ngọc Thọ.
Turut mengiringi delegasi sepanjang lawatan di VKU ialah Ketua Jabatan Sains, Teknologi dan Kerjasama Antarabangsa VKU, Dr Lê Hà Như Thảo.
Turut mengiringi Baginda dari UniMAP ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ir Ts Dr Shahriman Abu Bakar.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, jaringan industri UniMAP merangkumi pelbagai sektor strategik termasuk elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, bioperubatan, pemprosesan bahan dan makanan, automotif, mekanikal dan aeroangkasa, alam sekitar, infrastruktur serta media dan komersial.
Antara pemain industri yang mempunyai jaringan dengan UniMAP ialah Intel, Infineon, Micron, AT&S, Oppstar, Inari, SkyeChip, Analog Devices, AMD, ViTrox, Modenas, Proton dan Turkish Aerospace Industries.
Menurut Baginda, hubungan universiti-industri itu diterjemahkan menerusi pelbagai mekanisme termasuk Industry Advisory Panel (IAP), CEO@Faculty, pensyarah pelawat, Industry on Campus, latihan industri, projek bersama industri, penyelidikan kolaboratif dan Teaching Factory.
Pendekatan berkenaan membolehkan perubahan teknologi serta kehendak industri dibawa terus ke dalam ekosistem pembelajaran, sekali gus memberi mahasiswa pendedahan kepada realiti dunia pekerjaan sebelum mereka menamatkan pengajian.
Baginda bertitah, jaringan lebih 300 pemain industri itu menjadi antara kekuatan UniMAP dalam melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran dan kompetensi selari dengan keperluan industri.
Lawatan ke VKU turut membuka ruang kepada kedua-dua universiti meneroka potensi kerjasama lebih luas, khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi, teknologi digital, penyelidikan, inovasi serta mobiliti mahasiswa dan tenaga akademik.