DA NANG, 6 Sept (Bernama) — Lebih 40 penyelidik berkelayakan ijazah kedoktoran (PhD) meliputi pelbagai bidang mikroelektronik menjadi antara kekuatan strategik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam memperkukuh kapasiti teknologi semikonduktor negara.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kepakaran tersebut dihimpunkan menerusi Pusat Kecemerlangan Teknologi Mikro Sistem (MiCTEC).
“MiCTEC sebuah pusat kecemerlangan yang fokus kepada penyelidikan dan pembangunan teknologi berskala kecil untuk aplikasi elektronik dalam industri semikonduktor,” titah baginda di sini, pada Sabtu.
Baginda bertitah demikian ketika mengetuai delegasi International Leadership Mobility (ILM) UniMAP melawat FPT Software di sini, dan disambut oleh Pengerusi FPT Software Da Nang, Nguyen Tuan Phuong.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor 1 UniMAP, puteri-puteri baginda Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail merangkap Pro Canselor 2 UniMAP dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail, diiringi Timbalan Naib Cancelor UniMAP (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Ir Ts Dr Shahriman Abu Bakar.
Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Canselor UniMAP bertitah MiCTEC mempunyai lapan kumpulan penyelidikan yang meliputi bidang reka bentuk litar bersepadu frekuensi radio (RF IC) dan analog; reka bentuk litar digital; reka bentuk sistem; bahan dan peranti; Sistem Mikro-Elektromekanikal (MEMS); fabrikasi dan pencirian; optoelektronik; serta pembungkusan dan pengujian.
Baginda bertitah keseluruhan bidang itu merangkumi sebahagian besar komponen kritikal dalam ekosistem mikroelektronik dan semikonduktor.
“Ia meletakkan MiCTEC sebagai satu daripada aset penting UniMAP dalam pembangunan teknologi tersebut dan lebih 40 penyelidik menunjukkan kekuatan UniMAP dalam bidang semikonduktor bukan sekadar tertumpu kepada aspek pengajaran dan pembelajaran, malah juga disokong kedalaman kepakaran penyelidikan,” titah baginda.
Baginda bertitah kepakaran penyelidik dalam pelbagai disiplin itu membolehkan UniMAP memperluas keupayaan penyelidikan gunaan, pembangunan prototaip serta penyelesaian masalah teknologi yang diperlukan industri.
Ekosistem penyelidikan MiCTEC turut membuka ruang kepada pemindahan teknologi dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang mikroelektronik yang semakin penting kepada daya saing industri negara, titah baginda.
“Kekuatan tersebut juga diperkukuh melalui hubungan dengan pemain industri, membolehkan kepakaran akademik dan penyelidikan diterjemahkan kepada penyelesaian yang mempunyai nilai serta aplikasi sebenar.
“Ini selari dengan keperluan Malaysia untuk memperkukuh ekosistem semikonduktor tempatan melalui penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat, sekali gus memastikan institusi pendidikan tinggi terus berperanan penting dalam menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi negara,” titah baginda.
— BERNAMA