Daripada Shuhaida Mohd Said
DA NANG, 6 Sept (Bernama) — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berada di landasan tepat ke arah go global, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai universiti premier teknikal.
Timbalan Konsul (Pendidikan), Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City, Koh Bee Ching berkata usaha itu terbukti dengan pelbagai kerjasama strategik antara universiti, industri dan institusi antarabangsa, khususnya di rantau ASEAN.
Ad Banner
Ad Banner
“Berteraskan identiti sebagai universiti teknikal, UniMAP berpotensi menjadi penghubung strategik dengan komuniti global melalui pendidikan, teknologi dan inovasi,” katanya atase pendidikan itu kepada Bernama ketika ditemui di Ekspo Pendidikan Luar Negara Da Nang di sini, hari ini.
Beliau berkata keupayaan penyelidik UniMAP menghasilkan penerbitan, inovasi dan kerjasama penyelidikan antarabangsa memperkukuh kedudukan universiti itu dalam ekosistem ilmu global.
Program seperti International Leadership Mobility (ILM) yang dianjurkan UniMAP mampu memberikan impak yang sangat baik terhadap para pelajar supaya mampu menjadi global citizen, katanya.
Ad Banner
“Melalui ILM ada lawatan dan perbincangan dengan universiti di luar negara serta pihak industri. Inisiatif ini memberi pendedahan yang sangat baik untuk pelajar go global,” katanya.
Koh berkata hubungan erat dengan pemain industri tempatan dan antarabangsa membuka ruang kepada mobiliti bakat, perkongsian teknologi serta peluang kerjaya global untuk pelajar.
Sementara itu Timbalan Naib Cancelor UniMAP (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Ir Ts Dr Shahriman Abu Bakar turut berpeluang memberikan taklimat ringkas mengenai peluang pengajian di UniMAP pada expo pendidikan tersebut.
Program ILM merupakan satu inisiatif rangkaian antarabangsa dan akademik tahunan yang melibatkan delegasi UniMAP melawat universiti luar negara dan industri utama untuk memperkukuh pendidikan serantau, memperluas penyelidikan teknikal serta memupuk kepimpinan pelajar.
Pada edisi kali ini, delegasi UniMAP diketuai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor dan turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor 1 UniMAP.
Turut berangkat puteri-puteri baginda Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail merangkap Pro Canselor 2 UniMAP dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
— BERNAMA