TRIPs pacu SPM Perlis, sasar GPN 4.44

TRIPs pacu SPM Perlis, sasar GPN 4.44

MEDAN, 14 Sept — Perlis menyasarkan Gred Purata Negeri (GPN) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 4.44 atau lebih baik tahun ini menerusi intervensi besar-besaran yang melibatkan semua pelajar Tingkatan Lima di negeri itu. Selangor

Usaha itu digerakkan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) menerusi program Transformasi Intelek Pelajar Perlis (TRIPs), susulan GPN negeri berubah daripada 4.57 pada 2024 kepada 4.67 tahun lalu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, TRIPs memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi mata pelajaran SPM, khususnya subjek teras dan kritikal yang menjadi penentu pencapaian akademik pelajar.

Baginda bertitah, intervensi mengikut mata pelajaran akan memberi pengukuhan dalam penguasaan kandungan, teknik menjawab, kemahiran berfikir dan strategi menghadapi peperiksaan.

“Pendekatan ini membolehkan intervensi disesuaikan mengikut keperluan setiap mata pelajaran, sekali gus membantu meningkatkan keyakinan dan kesiapsiagaan pelajar menghadapi SPM,” titah baginda.

Namun, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, TRIPs tidak hanya mengejar keputusan peperiksaan.

Sebaliknya, program itu dirangka bagi memastikan pelajar mempunyai laluan jelas selepas SPM sama ada meneruskan pengajian akademik atau memilih bidang kemahiran.

Pelajar berpotensi dalam akademik akan diperkasa untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi, manakala mereka yang mempunyai kecenderungan dalam bidang kemahiran akan didedahkan kepada pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), Kolej Komuniti serta pusat latihan industri.

“Dengan pendekatan ini, setiap pelajar diberikan peluang membina masa depan berdasarkan potensi dan kekuatan masing-masing.

“Kekuatan TRIPs terletak pada pendekatannya yang menyeluruh, daripada penguasaan subjek SPM kepada persediaan ke peringkat pendidikan dan kerjaya seterusnya,” titah baginda.

Baginda bertitah, kecemerlangan pelajar tidak seharusnya terhenti dengan keputusan peperiksaan, sebaliknya perlu diteruskan menerusi akses kepada pendidikan, latihan kemahiran dan peluang kerjaya.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan menyempurnakan pelancaran Promosi Masakan Perlis di Le Polonia Hotel & Convention Medan, Sumatera Utara, Indonesia.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda kedua baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Program anjuran hotel berkenaan bersama FCoEE yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu mendapat kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Restoran Shamiza Guar Nangka.

Promosi itu mengetengahkan Kurma Daging Perlis sebagai antara sajian warisan negeri dalam usaha memperkenalkan identiti dan keunikan gastronomi Perlis kepada masyarakat Indonesia.

Program berkenaan turut menjadi platform diplomasi budaya menerusi makanan, sekali gus membawa warisan kulinari Perlis ke peringkat antarabangsa.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.