KUALA PERLIS, 22 Okt – Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) terus mempergiat usaha memperkasa ekonomi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi penganjuran Karnival VETERANiaga di pekarangan Dewan Komuniti, Taman Wai Permai, di sini.
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melawat karnival berkenaan serta meluangkan masa beramah mesra dengan usahawan veteran ATM yang mengambil bahagian.
Baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia turut meninjau gerai jualan dan pameran keusahawanan yang menampilkan pelbagai produk serta perkhidmatan diusahakan bekas anggota tentera dan keluarga mereka.
Keberangkatan tiba Baginda disambut Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Ts. Amir Md. Noor; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), Mejar Jeneral Datuk Haji Semaon Haji Marjuk serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Leftenan Kolonel Azwadi Jamian (Bersara).
Karnival VETERANiaga menjadi platform penting untuk membantu veteran ATM memperluas pasaran produk, membina jaringan perniagaan dan meningkatkan pendapatan selepas menamatkan perkhidmatan ketenteraan.
Antara produk yang diketengahkan termasuk makanan, minuman, hasil kraf tangan serta pelbagai perkhidmatan tempatan yang diusahakan golongan veteran.
Selain aktiviti jualan, PERHEBAT turut menyediakan kaunter khidmat nasihat bagi membolehkan peserta mendapatkan maklumat mengenai latihan kemahiran, kursus keusahawanan serta peluang memperoleh bimbingan dan bantuan pembangunan perniagaan.
Kemudahan itu memberi peluang kepada veteran yang berminat menceburi bidang keusahawanan untuk mendapatkan panduan dalam merancang serta mengembangkan perniagaan masing-masing.
Karnival berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk saringan kesihatan asas dan cabutan bertuah yang membuka ruang kepada penduduk setempat untuk bersama-sama menyertai program tersebut.
Penganjuran VETERANiaga bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek pemasaran produk, malah menjadi sebahagian daripada usaha berterusan PERHEBAT membantu bekas anggota tentera menyesuaikan diri dengan kehidupan awam melalui pembangunan kemahiran dan peluang ekonomi. BacaTeori Ekonomi
Usaha itu penting bagi memastikan pengalaman, disiplin dan kepakaran yang diperoleh sepanjang perkhidmatan ketenteraan dapat dimanfaatkan dalam bidang pekerjaan serta keusahawanan.
Pada masa sama, program seumpama ini turut mengeratkan hubungan antara komuniti veteran, agensi kerajaan dan masyarakat setempat, selain menggalakkan sokongan terhadap produk serta perkhidmatan keluaran usahawan veteran ATM.
Inisiatif berkenaan diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan veteran yang berdaya saing, berdikari dan mampu menjana pendapatan mampan demi kesejahteraan keluarga masing-masing.