KUALA PERLIS, 22 Okt – Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) menyalurkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada lima veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi serta meringankan beban mereka yang berdepan masalah kesihatan.
Sumbangan itu disampaikan menerusi Program Kayuhan Ihsan PERHEBAT dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai, di sini.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM9,000 diperuntukkan sebagai insentif keusahawanan kepada tiga usahawan veteran, manakala RM1,000 lagi disalurkan sebagai wang ihsan kepada dua veteran yang uzur akibat penyakit kronik.
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan penyerahan sumbangan berkenaan, sekali gus mencerminkan keprihatinan berterusan terhadap kebajikan bekas anggota tentera.
Baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia turut berkenan mengetuai kayuhan sejauh 10 kilometer merentasi Kampung Seberang Alor, Kampung Seberang Ramai dan Kampung Wai. Bantuanbencana alam
Turut mengiringi Baginda ialah Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Ts. Amir Md. Noor; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Datuk Haji Semaon Haji Marjuk serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Leftenan Kolonel Azwadi Jamian (Bersara).
Program berkenaan turut menggabungkan inisiatif kebajikan JHEV ATM dan Yayasan Veteran ATM bagi memastikan veteran yang memerlukan bantuan terus mendapat perhatian, khususnya dalam bidang keusahawanan, kesihatan dan kesejahteraan hidup.
Dalam program sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga asnaf terpilih.
Mereka ialah Kamal Ludin Saad, 72, dari Kampung Seberang Alor; Denah Ladin, 83, dari Kampung Seberang Tok Pi dan Amir Shaaban, 73, dari Kampung Tandiap.
Setiap penerima menerima wang tunai RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi membantu meringankan beban perbelanjaan dan keperluan harian.
Jumlah keseluruhan bantuan tunai kepada tiga asnaf itu ialah RM2,100, tidak termasuk nilai kit bantuan dan beras fidyah yang turut diagihkan.
Penganjuran Kayuhan Ihsan PERHEBAT dengan kerjasama MAIPs, JHEV ATM, Yayasan Veteran ATM dan MN Holdings Berhad memperlihatkan pendekatan bersepadu antara agensi kerajaan, institusi agama dan sektor korporat dalam memperkukuh jaringan kebajikan masyarakat.
Selain menyantuni golongan memerlukan, program itu turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara institusi diraja, veteran ATM dan masyarakat setempat.
Inisiatif seumpama ini juga memperlihatkan bahawa usaha menjaga kebajikan bekas anggota tentera tidak terhenti selepas mereka menamatkan perkhidmatan, sebaliknya perlu diteruskan melalui sokongan ekonomi, bantuan kesihatan dan program kemasyarakatan.