KANGAR, 10 Nov (Suara Merdeka) – Kekuatan sebenar negeri Perlis bukan terletak pada keluasan geografinya, sebaliknya pada hubungan erat antara masyarakat pelbagai kaum dan budaya yang menjadi asas keharmonian serta kemakmuran negeri.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kepelbagaian komuniti di negeri itu merupakan aset penting yang mendidik masyarakat supaya saling memerlukan, menghormati dan mengetepikan kepentingan kelompok masing-masing.
“Kelebihan utama Perlis bukanlah pada skala geografi, tetapi pada eratnya hubungan sesama insan.
“Kepelbagaian komuniti di negeri ini adalah aset yang mendidik kita untuk hidup saling memerlukan dan mengenepikan ego kelompok,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke majlis rumah terbuka Deepavali anjuran keluarga pemilik Millen Surinraj Beauty Centre, Surinderjit Amar Singh di Taman Gasing, Jejawi, dekat sini.
Turut mengiringi keberangkatan baginda berdua ialah anakanda-anakanda puteri, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan harapan agar sambutan perayaan tahun ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan perpaduan masyarakat, selain memperkasa keadilan sosial di peringkat akar umbi.
“Semoga perayaan tahun ini mengukuhkan lagi nilai kebersamaan kita, memperkasa keadilan sosial di peringkat akar umbi, dan membolehkan kita terus menyumbang bakti demi kemakmuran bersama seluruh rakyat Perlis,” titah baginda.
Baginda turut mengajak seluruh masyarakat supaya terus menyuburkan budaya saling menghormati, mengamalkan kehidupan rukun damai dan memelihara keharmonian yang sekian lama menjadi kekuatan negeri itu.
Titah baginda turut membawa mesej bahawa perpaduan bukan sekadar dizahirkan melalui sambutan perayaan, tetapi perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian menerusi sikap bertolak ansur, saling membantu dan menghargai kepelbagaian.
Keberangkatan keluarga diraja Perlis ke majlis rumah terbuka berkenaan turut mencerminkan semangat muhibah dan hubungan mesra antara institusi diraja dengan masyarakat pelbagai kaum di negeri itu.
– SUARA MERDEKA