PAUH PUTRA, 18 Nov – Graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam bidang elektronik dan mikroelektronik mendapat permintaan tinggi daripada sektor industri berteknologi tinggi, khususnya di koridor perindustrian utara termasuk Bayan Lepas dan Kulim Hi-Tech Park.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, UniMAP mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 99.3 peratus berdasarkan data rasmi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Pencapaian itu membuktikan keupayaan UniMAP melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri, sekali gus menyokong usaha memperkukuh daya saing negara dalam sektor elektronik dan mikroelektronik.
Baginda yang juga Tuanku Canselor UniMAP bertitah demikian menerusi rakaman video yang ditayangkan pada Sidang Kelima Istiadat Konvokesyen Ke-21 UniMAP di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra, Isnin lalu.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyeru graduan supaya memanfaatkan kemahiran teknikal dan insaniah yang diperoleh sepanjang pengajian untuk terus membina kepakaran dalam bidang masing-masing.
Baginda bertitah, graduan perlu berani meneroka peluang baharu, menghasilkan inovasi serta menawarkan penyelesaian terhadap permasalahan masyarakat, selain berperanan sebagai golongan profesional yang proaktif dalam menyokong pembangunan industri dan negara.
Baginda turut menekankan kepentingan hubungan erat antara institusi pendidikan, sektor industri dan masyarakat dalam memperkukuh ekosistem pembangunan modal insan.
Sehubungan itu, graduan diseru supaya terus membina jaringan kerjasama serta berkongsi kepakaran merentas sektor bagi memperkukuh keupayaan tempatan, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Pada istiadat berkenaan, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, selaku Tuanku Pro Canselor UniMAP, berkenan menyempurnakan pengurniaan ijazah kepada 359 graduan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik (FKTEN).
Keberangkatan tiba Baginda disambut Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli serta barisan pengurusan tertinggi universiti.
Kejayaan graduan UniMAP menembusi sektor industri berteknologi tinggi memperlihatkan peranan strategik universiti itu dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri elektronik, mikroelektronik dan pembangunan teknologi negara.