UniMAP kekal pengiktirafan 6-Star Talentbank tiga tahun berturut-turut

UniMAP kekal pengiktirafan 6 Star Talentbank tiga tahun berturut turut

PAUH PUTRA, 17 Nov – Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya mengekalkan pengiktirafan ‘6-Star Talentbank’ bagi bidang Kejuruteraan Elektrik selama tiga tahun berturut-turut sejak 2024.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pencapaian itu mencerminkan keupayaan UniMAP mengekalkan kecemerlangan akademik serta melahirkan graduan berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan industri.

Baginda bertitah kejayaan berkenaan amat signifikan, khususnya dalam bidang kejuruteraan elektrik yang terus berkembang seiring dengan kemajuan teknologi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor UniMAP bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-21 UniMAP Sidang Enam di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra, hari ini.

Pada istiadat berkenaan, Baginda berkenan menyempurnakan pengurniaan ijazah kepada 435 siswazah FKTE UniMAP.

Baginda turut berharap pencapaian itu menjadi pemangkin kepada fakulti berkenaan untuk terus memperkukuh kualiti pengajaran dan pembelajaran, memperluas kerjasama strategik dengan industri serta meningkatkan penyelidikan dan inovasi dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Dalam titah yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menekankan kepentingan memupuk semangat kebangsaan menerusi amalan saling menghormati, kepercayaan, keadilan dan sikap prihatin antara satu sama lain.

Baginda bertitah kepelbagaian kaum, agama dan budaya merupakan sebahagian daripada identiti Malaysia yang perlu dihargai dan dipelihara sebagai kekuatan dalam membina sebuah negara yang aman dan bersatu padu.

Sehubungan itu, setiap rakyat mempunyai tanggungjawab bersama untuk mengekalkan keamanan, memelihara keharmonian masyarakat serta memastikan negara terus berkembang maju.

Menurut Baginda, institusi pendidikan tinggi seperti UniMAP turut memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang memahami, menerima dan menghormati kepelbagaian masyarakat.

Persekitaran kampus yang menghimpunkan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang menyediakan peluang kepada mereka untuk saling mengenali, berkongsi pengalaman dan membina persefahaman.

Baginda turut berharap nilai saling menghormati dan semangat kebersamaan yang dipupuk sepanjang pengajian terus diamalkan apabila graduan melangkah ke alam pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat.

Keberangkatan tiba Baginda disambut wakil Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Azhar Abdul Aziz, Naib Canselor Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli serta barisan pengurusan tertinggi universiti.

– SUARA MERDEKA

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content