PAUH PUTRA, 17 Nov – Fakulti Komputeran Cerdas (FKC) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencatatkan Kadar Kebolehpasaran Graduan 100 peratus pada tahun 2025, sekali gus membuktikan keupayaan fakulti berkenaan melahirkan graduan berkualiti yang memenuhi keperluan industri.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pencapaian membanggakan itu perlu dikekalkan dan diperkukuh bagi meningkatkan keupayaan UniMAP melahirkan graduan berdaya saing.
Baginda turut menasihatkan graduan supaya berani keluar daripada zon keselesaan, sentiasa memperluas pengetahuan dan menguasai kemahiran baharu bagi menghadapi landskap pekerjaan yang semakin dinamik dan mencabar.
Menurut Baginda, keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan, berfikir secara kreatif serta menyelesaikan masalah merupakan kelebihan penting untuk memastikan graduan kekal relevan dalam pasaran pekerjaan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor UniMAP bertitah demikian menerusi rakaman video sempena Sidang Ketiga Istiadat Konvokesyen Ke-21 UniMAP di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra, baru-baru ini.
Dalam titah yang sama, Baginda turut mengingatkan bahawa kemajuan kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya menyebabkan nilai kemanusiaan diketepikan.
Baginda bertitah meskipun AI berupaya melaksanakan pelbagai tugasan, nilai seperti keikhlasan, empati, belas ihsan, adab dan tanggungjawab sesama insan perlu terus dipelihara.
Sehubungan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra menyeru graduan supaya memanfaatkan kemajuan teknologi untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat, menyelesaikan pelbagai permasalahan serta membuka lebih banyak peluang kepada golongan yang memerlukan.
Baginda bertitah setiap kemajuan teknologi dan pencapaian yang diraih sewajarnya memberikan nilai tambah kepada kehidupan manusia serta memastikan manfaat pembangunan dinikmati seluruh lapisan masyarakat.
Pada istiadat berkenaan, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro Canselor UniMAP berkenan berangkat menyempurnakan majlis konvokesyen bagi sesi petang.
Seramai 442 graduan daripada FKC dan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) menerima ijazah masing-masing pada sidang berkenaan.
Keberangkatan tiba Baginda disambut wakil Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Azihani Datuk Ali, Naib Canselor Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli serta barisan pengurusan tertinggi universiti.
UniMAP terus komited memastikan program akademik yang ditawarkan kekal relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri, di samping melahirkan graduan berkemahiran, berintegriti, berfikiran kritis serta mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab sosial.
– SUARA MERDEKA