PAUH PUTRA, 15 Nov – Pencapaian 100 peratus kebolehpasaran graduan bagi semua program di dua fakulti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam tempoh enam bulan selepas bergraduasi membuktikan keupayaan universiti itu menyediakan pendidikan berkualiti yang memenuhi keperluan industri.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kejayaan yang dicatatkan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK) serta Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam (FKTA) itu mencerminkan keberkesanan pendekatan pendidikan UniMAP dalam melahirkan graduan yang memiliki ilmu, kemahiran dan kompetensi sejajar dengan kehendak pasaran pekerjaan.
Baginda yang juga Canselor UniMAP bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Sidang Kedua Istiadat Konvokesyen Ke-21 UniMAP di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengingatkan graduan kedua-dua fakulti supaya memanfaatkan ilmu dan kepakaran yang diperoleh untuk menyumbang kepada pembangunan infrastruktur serta kemajuan teknologi negara.
Baginda bertitah aspek keselamatan, kepentingan awam, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar hendaklah sentiasa diberikan keutamaan dalam melaksanakan tanggungjawab profesional.
Dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, baginda menegaskan bahawa etika profesional dan kejujuran perlu menjadi asas kepada setiap tindakan serta keputusan, manakala setiap amanah hendaklah dilaksanakan dengan teliti, penuh komitmen dan berlandaskan prinsip profesionalisme.
Pada istiadat berkenaan, baginda turut berkenan menyempurnakan pengurniaan ijazah kepada 463 graduan daripada FKTK dan FKTA.
Kejayaan itu diharap menjadi pemangkin kepada graduan untuk terus meningkatkan keupayaan diri, mengembangkan kepakaran serta memberikan sumbangan bermakna kepada industri dan pembangunan negara.
Pencapaian berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan UniMAP dalam melahirkan tenaga profesional yang kompeten, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, Ahli Lembaga Pengarah UniMAP serta barisan pengurusan tertinggi universiti. – SUARA MERDEKA