Pusat Warisan
Pusat Warisan
- Darul Abrar
- Masjid Alwi
- Masjid Al-Hussain
- Pusat Sunnah
Pusat Pengurusan Jenazah ‘Darul Abrar’ Wakaf MAIPs adalah salah satu projek mercu tanda wakaf di Negeri Perlis. Pusat ini merupakan bekas masjid lama Al-Abrar Kubang Gajah ditubuhkan bertujuan menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah di Negeri Perlis.
Darul Abrar telah dirasmikan oleh DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada Jumaat, 19 Mei 2017.
Selain menyediakan perkhidmatan Pengurusan Jenazah, pusat ini turut menjadi lokasi pelaksanaan Kursus Pengurusan Jenazah menurut Sunnah anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Ingin Dapatkan Perkhidmatan Pengurusan Jenazah?
Sila hubungi pihak Jawatankuasa Masjid Al-Abrar Kubang Gajah:
Hubungi Kami
+6012-410 6707
Masjid Alwi Kangar adalah salah satu daripada mercu tanda syiar Islam di Negeri Perlis. Masjid Alwi Kangar telah dibina pada tahun 1931 dengan perbelanjaan sebanyak RM 64, 684. 00.
Dana bagi perbelanjaan ini diperoleh melalui kutipan wang Zakat dan Fitrah, derma dari pegawai-pegawai kerajaan yang beragama Islam dan saudagar-saudagar Islam serta peruntukkan dari Kerajaan Negeri Perlis.
Usaha-usaha mengumpulkan dana bagi membangunkan sebuah masjid di Kangar telah dijalankan semenjak tahun 1920an lagi, dan pembinaanya telah dimulakan semenjak perkhidmatan Mr. M. C Hay dahulu. Namun semasa perkhidmatan Mr. O. E Venables barulah masjid tersebut siap dibina iaitu pada Febuari 1933.
Ianya telah dibuka dengan rasminya oleh Almarhum Tuanku Syed Alwi Ibni Almarhum Tuanku Syed Safi Jamalilail pada 14 Syawal 1351 Hijrah bersamaan 10 Febuari 1933.
Masjid yang begitu indah ini telah dinamakan sebagai “Masjid Alwi” iaitu sempena nama Raja Negeri Perlis ketika itu iaitu Almarhum Tuanku Syed Alwi Jamalullail.
Masjid Alwi juga telah didaftarkan sebagai Warisan di bawah akta warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dan diluluskan oleh Dato’ Profesor Emeritus Zuraina Majid (Pesuruhaya Warisan 2008) dari Jabatan Warisan Negara di Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan Malaysia.
Sehingga kini, Masjid Alwi masih digunakan dan menjadi antara masjid utama di Negeri Perlis. Pelbagai program pengimarahan dan kemasyarakat seperti Kuliah Mingguan Sahibus Samahah Mufti Negeri Perlis, Program Perkampungan Sunnah dan lain-lain dilaksanakan dengan sebaiknya.
Lokasi Masjid Alwi
Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis merupakan suatu binaan masjid terapung yang dibina berhampiran Jeti Kuala Perlis, Kuala Perlis, Perlis, Malaysia. Masjid ini telah dibina di tepi pantai Kuala Perlis menghadap laut Selat Melaka. Ia telah dibina hasil sumbangan seorang ahli perniagaan, Tan Sri Mohd. Ariffin Yusuf dan dibuka 8 Ogos lalu. Imam Masjid Al-Hussain kini ialah Mohammad Dhiya’al Hafidh Fatah Yasin.
Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis ini mengambil masa selama empat (4) tahun untuk disiapkan dengan kos kira-kira RM 12 juta. Sebahagian daripada binaannya menganjur ke laut Selat Melaka.
Resort tropika moden ialah tema seni bina yang ditonjolkan menerusi sentuhan artistik pada masjid itu. Konsep tersebut telah diterjemahkan pada laman dan suasana santai menerusi persekitaran masjid tersebut.
Menariknya Masjid yang menjadi ikon baru Kuala Perlis itu telah diilhamkan Raja Muda Perlis, iaitu Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalulail.
Abang kepada Ariffin, Datuk Dr. Mohd. Hussain meninggal dunia pada tahun 1999 sebelum sempat dia menunaikan hajat untuk membina sebuah masjid. Oleh kerana itulah selepas siap dibina, masjid itu dinamakan sempena nama abangnya itu.
Bagi mewujudkan sentuhan alami yang diadaptasikan oleh faktor persekitarannya yang berlatar-belakangkan pantai dan lautan, dinding masjid tidak dicat sebaliknya sekadar menggunakan batu-batuan jenis koral, kuartz, granit, marmar dan pebbles.
Sebuah wakaf didirikan di dataran masjid. Para jamaah dan pengunjung juga boleh berehat di sepanjang tembok sambil menghadap ke laut. Tiga batang pokok kurma yang didatangkan khas dari Tanah Arab menyuntik elemen Asia Barat di laman masjid.
Ciri luaran utama Masjid Al-Hussain ialah kubahnya yang berwarna kuning keemasan beserta motif biru yang sinonim dengan warna rasmi negeri Perlis.
Lokasi Masjid Al-Hussain
Pusat Sunnah Nabawiyyah, Perlis (Centre of Sunnah / مركز السنة النبوية ) MAIPs adalah merupakan tapak dan bangunan asal Masjid Lama Arau yang telah didirikan semasa pemerintahan Raja Syed Ahmad Jamalullail sekitar tahun 1873 hingga 1897M. Ia dibina oleh tukang-tukang Arab dan Melayu menggunakan batu-bata, kayu, tanah liat, telur ayam, telur itik dan berbagai jenis manisan.
Semasa pemerintahan Raja Syed Saffi Jamalullail, Masjid Lama Arau telah diperbesarkan untuk menampung jumlah jemaah yang makin bertambah. Sejajar dengan itu, baginda turut menempah sebuah mimbar kayu (tempat Imam berkhutbah) yang dibuat di Pulau Pinang. Tukang yang bertanggungjawab untuk membuat mimbar ini ialah Haji Abdullah Buyung yang juga berasal dari Pulau Pinang . Mimbar ini siap sepenuhnya pada tahun 1905 M / 1322 H dan dibawa pulang ke Perlis melalui Sungai Tebing Tinggi ke Kangar. Kemudian, mimbar ini telah dibawa ke Arau dengan menggunakan kereta kuda. Kini, mimbar tersebut telah berusia hampir seratus tahun dan ia masih digunakan hingga ke hari ini sebagai mimbar di Masjid Negeri, Arau.
Semasa pemerintahan Raja Syed Alwi Jamalullail , ruang beranda telah diperbesarkan di sekeliling masjid. Beberapa tahun kemudiannya pula dibuat lagi tambahan bangunan di sebelah kanan dan kiri masjid yang kelihatannya seperti bersayap bagi menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah.
Semasa pemerintahan Raja Syed Putra Jamalullail, Masjid Lama Arau telah mengalami pelbagai perubahan. Atap masjid, lampu, tikar dan segala kelengkapan masjid telah ditukar dengan yang baru. Walau bagaimana pun, pada tahun 1973 Masjid Negeri telah dibina di tapak masjid yang ada sekarang menggantikan Masjid Lama Arau. Justeru itu, mulai tahun tersebut fungsi Masjid Lama Arau telah berpindah ke Masjid Negeri baru tersebut.
Ketika pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, masjid lama ini telah dijadikan tempat pengajian Al-Quran selin turut dijadikan Tadika Islam. Pada penghujung tahun 2016, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis telah membaikpulih kembali masjid ini untuk dijadikan Pusat pengajian dan ilmu. Maka, pada 17 Januari 2017, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis telah merasmikan Pusat Sunnah Nabawiyyah MAIPs dan dijadikan pusat pembelajaran kitab turath di Perlis.
Lokasi Pusat Sunnah Nabawiyyah
Teroka Lebih Lanjut
Fasiliti
MAIPs menyediakan pelbagai fasiliti lengkap untuk kemudahan anda. Setiap fasiliti disediakan terdiri daripada komplek wakaf yang mempunya dewan serba guna
Adat Istiadat Melayu
Secara umumnya, warisan adat resam masyarakat Melayu Perlis tidak banyak berbeza dengan adat resam Melayu di negeri-negeri lain. Amalan-amalan tradisional ini mencakupi pelbagai aspek kehidupan, termasuk adat resam sewaktu anak mash dalam kandungan, kelahiran bayi, perkahwinan, dan kematian. Selain itu, terdapat juga warisan adat yang berkait rapat dengan pekerjaan utama masyarakat Melayu Perlis, seperti adat resam dalam aktiviti bersawah padi dan pantang-larang yang diikuti ketika memasuki hutan. Paparan ini memberikan gambaran menyeluruh tentang bagaimana nilai-nilai tradisi terus dipraktikkan dan diwariskan dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu Perlis.
Hebahan Warta
Terokai lebih lanjut mengenai dasar-dasar dan polisi Islam di Negeri Perlis, yang dirangka untuk memupuk kesejahteraan ummah dan menyokong pembangunan syariah.