KANGAR, 19 Jun — Perubatan Dalaman Maju dan Akut (AAIM) telah menerajui penggunaan ultrabunyi dan ekokardiografi perubatan di sisi katil dan hasil positif yang diperoleh daripada penggunaan peralatan itu tidak boleh disangkal lagi.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kaedah pemeriksaan kesihatan itu bukan sahaja mengurangkan masa kritikal semasa rawatan tetapi juga mengurangkan pendedahan patogen berikutan peralatan yang digunakan di wad atau fasiliti lain.
“Ultrabunyi terhadap paru-paru mampu mengesan keabnormalan yang mana akses kepada imbasan CT adalah sedikit atau mungkin mendedahkan pesakit lain. Ekokardiografi di sisi katil berperanan dalam pengimejan penyebab renjatan dan semua ini dapat dilakukan dengan peranti bersaiz poket,” titahnya.
Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Penaung Diraja Perubatan Dalaman Akut Tahap Lanjut (MAAIMUSS) bertitah demikian pada webinar ‘Point Of Care Ultrasonography and Echocardiography Course’ anjuran MAAIMUSS hari ini.
Turut sama menyertai webinar itu ialah Presiden MAAIMUS Prof Datuk Seri Dr Paras Doshi.
Sementara itu, Paras Doshi menerusi kenyataan berkata webinar julung kali itu menerangkan teknik mengesan dan merawat COVID-19.
“Hospital-hospital di negara ini telah dibekalkan dengan mesin ultrabunyi dan penggunaannya dalam wad COVID-19 telah banyak memberi faedah dalam penjagaan pesakit,” katanya.
Beliau berkata dengan menggunakan kaedah itu, doktor dapat melakukan pengimbasan terhadap pesakit tenat dengan segera tanpa perlu menggerakkan pesakit ke tempat lain.
Tarikh kemaskini: 4/22/2025