Dari asnaf kepada cendekiawan: MAIPs terus menyokong pendidikan anak negeri

BESERI, 9 Julai 2025 – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus memperkukuh komitmen dalam menyokong pendidikan anak negeri dengan menyalurkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Beseri.

Sumbangan tersebut bertujuan memperkasa pelaksanaan pelbagai Program Kecemerlangan Akademik dan Sahsiah bagi pelajar-pelajar, khususnya daripada latar belakang keluarga berpendapatan rendah.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Yang DiPertua MAIPs, berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan secara simbolik kepada Pengetua MRSM Beseri, Hj Rizalmi Dahaman dalam satu majlis yang turut dihadiri Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Turut hadir, Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman dan Timbalan Ketua Pengarah MARA, Zahari Aziz.

Dalam program sama, MAIPs turut menyampaikan sumbangan tunai berjumlah RM12,000 kepada 40 pelajar MRSM Beseri dari kalangan keluarga asnaf, dengan setiap pelajar menerima RM300 di bawah inisiatif MAIPs Peduli.

Majlis diserikan dengan penglibatan warga kerja MARA dan Alumni MRSM Beseri (ANSERI), termasuk program turun padang menyantuni masyarakat sekitar. Aezlyn Optical, syarikat usahawan MARA, turut melaksanakan projek CSR Cermin Mata bagi membantu pelajar yang memerlukan.

Dalam titahnya, Tuanku Raja Muda menzahirkan harapan agar bantuan itu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh program bimbingan dan motivasi berimpak tinggi, terutama bagi pelajar menghadapi peperiksaan utama.

“Kecemerlangan akademik perlu seiring dengan pembentukan akhlak dan nilai diri. Kita mahu lahirkan generasi berilmu yang juga beradab,” titah baginda.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor menegaskan bahawa bantuan pendidikan merupakan asas penting dalam agenda pembangunan ummah.

“MAIPs tidak mahu ada anak Perlis yang tercicir hanya kerana kekangan kewangan. Setiap pelajar berpotensi menjadi cendekiawan – inilah pelaburan jangka panjang kita,” jelas beliau.

MAIPs menyasarkan agar bantuan seumpama ini dapat diperluas ke lebih banyak institusi pendidikan di negeri ini sebagai langkah membina masa depan yang lebih cerah dan saksama buat generasi muda Perlis.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.