KANGAR, 26 April 2026 — Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa usaha menuntut ilmu tidak seharusnya terhad kepada kejayaan lulus peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu menjurus kepada pemahaman mendalam, pemikiran kritis serta keupayaan membuat keputusan secara bijaksana.
Menurut Baginda, ilmu merupakan aset paling berharga yang tidak akan luput dan menjadi bekalan sepanjang hayat.
“Gunakanlah masa di sekolah dengan sebaiknya. Banyakkan membaca, bertanya dan belajar bersungguh-sungguh. Jangan mudah berpuas hati kerana setiap masa yang dimanfaatkan untuk belajar hari ini merupakan pelaburan berharga untuk masa depan,” titah Baginda.
Dalam masa sama, Baginda menekankan kepentingan pembinaan jati diri dan akhlak mulia seiring dengan kecemerlangan akademik, sambil mengingatkan bahawa kejayaan tanpa nilai dan adab tidak membawa makna sebenar.
“Jadilah pelajar yang jujur, amanah dan bertanggungjawab. Kejayaan sebenar adalah apabila seseorang itu mampu memberi manfaat kepada orang lain,” titah Baginda lagi.
Baginda turut mengingatkan bahawa nama Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi membawa sejarah dan makna tersendiri yang wajar dijadikan sumber inspirasi kepada pelajar untuk terus berjaya dan menyumbang kepada masyarakat.
Titah tersebut dizahirkan ketika Baginda berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega peringkat sekolah berkenaan yang dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Turut berangkat ialah Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut Pengetua sekolah, Noryah Md Noh, bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin serta Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra, Datuk Johari Mohd Darus.
Program yang membawa slogan “Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan” itu melibatkan seramai 757 pelajar terdiri daripada 398 lelaki dan 359 perempuan tingkatan satu hingga tiga.
Dalam ucapannya, pengetua memaklumkan sekolah terus mencatat pencapaian memberangsangkan apabila Gred Purata Sekolah (GPS) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meningkat daripada 5.47 kepada 5.30 pada 2025, manakala kadar kelulusan turut meningkat kepada 95.24 peratus.
Bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sekolah mencatat GPS 3.10 dengan kelulusan 100 peratus, selain beberapa mata pelajaran utama mencapai Nilai Gred Mata Pelajaran (NGMP) 3.00 ke atas.
Dalam bidang kokurikulum, sekolah itu muncul juara kategori lelaki bawah 18 tahun Kejohanan Merentas Desa MSSPs 2026, manakala pasukan Tingkatan Enam dinobatkan sebagai johan keseluruhan Karnival Sukan Tingkatan Enam 2025.
Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) turut mencatat kejayaan cemerlang apabila merangkul beberapa kejuaraan termasuk johan keseluruhan Merentas Desa MSSPs 2026, selain 11 atlet dipilih mewakili Perlis ke Kejohanan MSSM di Johor.
Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan pelancaran Alwian Furniture, inisiatif di bawah Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) dalam bidang pembuatan perabot.
Program tersebut memberi peluang kepada pelajar memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dalam bidang Operasi Pembuatan Perabot, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam industri.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia