Integrasi ilmu selaras iman dan sains demi manfaat manusia – Raja Muda Perlis

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah penekanan Islam terhadap ilmu bermula dengan perintah ‘Iqra’ yang bermaksud ‘bacalah’ mengingatkan umat manusia untuk mengintegrasikan kedua-dua ilmu sama ada berasaskan wahyu atau yang diperoleh, menyelaraskan iman dan sains demi manfaat kemanusiaan.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan pembukaan Persidangan Antarabangsa Kajian Al-Quran dan Sunnah Ke-3 di Galeri KAED di Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak.

Keberangkatan Baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, disambut Rektor UIAM, Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dan Dekan Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Abdul Hamid AbuSulayman.

Turut berangkat anakanda sulung baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullaill.

Persidangan ini dianjurkan UIAM dengan kerjasama Kerusi Jamalullail UIAM, Universiti Ibnu Khaldun Turkiye, Yayasan Darul Quran Indonesia dan Nasyrul Quran dan Yayasan Restu Putrajaya serta Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Sesi dialog berlangsung dua hari bermula hari ini UIAM, manakala esok akan berlangsung di Kompleks Nasrul Quran di Putrajaya.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, persidangan ini berdiri sebagai platform untuk pengetahuan dan dialog, menekankan bagaimana Al-Qur’an dan Sunnah mampu membimbing dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), etika biologi, pemuliharaan alam sekitar dan keadilan sosial.

“Dalam dunia sering berpecah, biarlah persidangan ini mengingatkan kita akan seruan Islam untuk perpaduan, kasih sayang dan penghormatan terhadap ilmu.

“Kepada semua peserta, saya nasihatkan anda untuk menerima perhimpunan ini sebagai peluang untuk kerjasama, memastikan pengetahuan yang diperoleh di sini berfungsi sebagai amanah dan kepercayaan untuk kebaikan masyarakat dan generasi akan datang,” titah baginda.

Untuk rekod, MAIPs menubuhkan Kursi Jamalullail di UIAM yang dirasmikan 7 Februari 2019 melibatkan pemberian biasiswa kepada pelajar peringkat Doktor Falsafah (PhD) serta mempromosikan penyelidikan dan pengajian khusus dalam bidang Pengajian Islam, Perbankan dan Kewangan Islam, Pengajian Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, Pelancongan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content