Islam Diturunkan Untuk Manfaat Manusia Dan Mengelak Mudharat – Raja Muda Perlis

Bangkinang, Kampar, Riau, Indonesia, 14 November 2019 – Agama Islam diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada junjungan mulia kita Baginda Nabi Muhammad Salallahualihi Wasallam sekitar 14 abad yang lalu dengan membawa objektif utamanya iaitu bagi memberikan manfaat kepada manusia dan mengelakkan kita semua daripada mudharat, sama ada di dunia ataupun di akhirat kelak. Walaupun idea dan gagasan umumnya sedemikian, perkara ini, tidak mungkin dapat dicapai sekiranya struktur terbinanya agama itu sendiri tidak diendahkan.

Sekadar niat yang baik, tanpa rujukan kepada kaedah dan cara beragama yang benar tidak akan memandu manusia melainkan ke arah kesesatan, sebagaimana terjadi kepada agama-agama yang lain. Di atas dasar itulah, di Perlis dan Muhammadiyah berkongsi idea dan tujuan yang sama, iaitu gerakan ke arah penyucian agama daripada budaya ‘taqlid’ tanpa soal kepada ikutan berdasarkan ilmu dan kaedah yang benar.

Dari semangat juang dan dakwah yang sama inilah, pada lazimnya unsur persahabatan dan ukhuwah Islam akan timbul. Kiblat dan arah tuju yang sama, kerapkali menghadiahkan sahabat dan teman dalam memenuhi objektif ini. Di antara tanda kasih dan sayang itu ialah saling menziarahi dan mengambil manfaat di antara satu sama lain.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian ‘Program Tabligh Akbar Bersama Pemimpin Muhammadiyah Provinsi Riau’ yang diadakan di Pondok Pesantren Mu’Alimin Muhammadiyah Bangkinang, Kampar, Riau baru-baru ini.

Keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda Perlis dan rombongan disambut oleh Ketua Muhammadiyah Riau Dr Saidul Amin serta kepimpinan Muhammadiyah Riau dan juga Guru Besar setta guru-guru Sekolah Pesanteren berkenaan.

Turut hadir ialah Bupati Kampar, Catur Sugeng Susanto dan Konsul Malaysia di Pekanbaru, Wan Nurshima Wan Jusoh.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut menambah bahawa negeri Perlis dan Muhammadiyah memilih semangat dakwah yang sama, iaitu membebaskan masyarakat daripada ‘Taqlid’ ikutan, menuju era pembaharuan agama yang turut dikenali sebagai ‘Tajdid’ dan seruan untuk beramal berdasarkan kepada dalil-dalil yang sahih daripada Al-Quran dan Al-Sunnah.

Selepas majlis perasmian tersebut para hadirin disampaikan ceramah oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Dr Rozaimi Ramle bersempena program itu.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content