Jadikan sifat pemurah, berkongsi rezeki sebagai amalan berterusan – Raja Muda Perlis

20 MAC 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengajak umat Islam menjadikan sifat pemurah dan berkongsi rezeki sebagai satu amalan yang berterusan dalam kehidupan seharian.

Baginda bertitah sumbangan yang diberikan bukan sahaja membantu keperluan fizikal penerima, malah ia juga menjadi simbol kasih sayang dan persaudaraan sesama kita.

“Marilah kita juga bersama-sama menghidupkan semangat kebersamaan dan keprihatinan ini, agar masyarakat kita menjadi lebih harmoni, maju, dan diberkati,” titah Baginda.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Kaki Bukit baru-baru ini.

MELALUI AKTIVITI BERBASIKAL

Program ini bertujuan menyantuni golongan asnaf di Perlis melalui aktiviti berbasikal yang diketuai oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs sendiri dalam mendekati dan membantu masyarakat yang memerlukan.

Inisiatif MAIPs ini juga dapat mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat, membolehkan bantuan disampaikan dengan lebih efektif dan tepat sasaran.

Raja Muda bertitah, Ramadan mengajar umatnya untuk menilai kehidupan dengan lebih mendalam.

“Dalam bulan inilah kita diuji dengan kelaparan dan kehausan, namun di sebalik ujian itu terselit pelajaran yang sangat berharga iaitu nilai kesabaran, ketabahan, dan penghargaan terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah,” katanya.

LEBIH MENDEKATKAN DIRI

Oleh itu, Baginda mengajak bersama-sama mengambil kesempatan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah, memperbanyakkan ibadah, dan memperkukuh hubungan dengan sesama manusia.

Raja Muda turut berkenan untuk menyampaikan sumbangan MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, bantuan Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah.

Asnaf yang terpilih pada program kali ini adalah Asion Saad, 76 dari Kampung Melayu, Faizah Md Akib, 68 dari Kampung Aman Batu 16 dan Ahmad Bakar, 89 juga dari kampung yang sama.

LOKASI PELANCONGAN TERKENAL

Dalam program yang sama Baginda dan semua yang mengiring singgah di Gua Kelam iaitu lokasi pelancongan terkenal di negeri ini sejak berdekad yang lalu sebagai tanda sokongan kepada kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Seterusnya Baginda yang turut diiringi sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan meluangkan masa menziarahi penghuni di Rumah Sejahtera Orang-Orang Tua Kaki Bukit sambil beramah mesra. – JM

Oleh: Sholina Osman

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content