Ketua Polis Perlis baharu beri tumpuan keselamatan sempadan, integriti pasukan

Ketua Polis Perlis baharu beri tumpuan keselamatan sempadan, integriti pasukan

ARAU, 15 Okt – Memperkukuh kawalan keselamatan sempadan utara, membanteras jenayah rentas sempadan serta memantapkan integriti dan profesionalisme anggota menjadi antara keutamaan Ketua Polis Perlis yang baharu, Deputi Komisioner Polis (DCP) Hamzah Hashim.

Beliau menggariskan lima teras strategik sebagai hala tuju kepimpinannya bagi memastikan Polis Kontinjen Perlis terus berupaya menangani cabaran keselamatan semasa, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Komitmen itu dizahirkan ketika beliau menghadap Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam majlis menghadap pengenalan secara rasmi di Istana Arau, di sini.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, manakala isteri Hamzah, Roszairol Haliza Shariff, turut hadir.

Hamzah menegaskan bahawa kepimpinannya akan berteraskan amanah, ketegasan, keadilan dan pendekatan berjiwa rakyat dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Lima teras strategik yang digariskan beliau merangkumi pengukuhan keselamatan dan ketenteraman awam, peningkatan kesiapsiagaan serta keupayaan pasukan, pemantapan integriti dan profesionalisme, pengukuhan keyakinan masyarakat serta pembangunan modal insan, teknologi dan inovasi.

Dalam aspek keselamatan sempadan, beliau memberi penekanan terhadap usaha memperhebat risikan, pengesanan awal ancaman dan penguatkuasaan bersepadu bagi membendung kegiatan jenayah rentas sempadan.

Langkah itu penting memandangkan kedudukan Perlis yang bersempadan dengan Thailand memerlukan tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menangani pelbagai ancaman keselamatan.

Pada masa sama, kecekapan operasi, penyelarasan sumber dan kemampuan tindak balas pasukan akan terus dipertingkat bagi memastikan sebarang ancaman atau situasi luar jangka dapat ditangani dengan pantas dan berkesan.

Hamzah turut menegaskan bahawa sebarang salah laku, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa dalam kalangan warga pasukan tidak akan dikompromi.

Menurut beliau, pembudayaan integriti, disiplin dan akauntabiliti merupakan asas penting bagi memelihara kredibiliti serta imej PDRM sebagai institusi penguatkuasaan undang-undang yang dihormati masyarakat.

Selain itu, pendekatan kepolisan berorientasikan komuniti akan diperkasakan melalui kerjasama strategik dengan kerajaan negeri, agensi penguatkuasaan dan masyarakat setempat.

Beliau turut memberi perhatian kepada penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) secara beretika serta bertanggungjawab bagi meningkatkan keberkesanan analisis maklumat, kecekapan operasi dan mutu penyampaian perkhidmatan.

Dalam hubungan itu, pembangunan kepimpinan, latihan dan budaya inovasi dalam kalangan pegawai serta anggota polis akan terus diperkukuh.

Hamzah berharap seluruh warga Polis Kontinjen Perlis dapat bergerak sebagai satu pasukan yang bersatu hati, berdisiplin dan mempunyai komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah kepada rakyat dan negara.

Beliau berpandangan bahawa kejayaan sesebuah pasukan polis tidak seharusnya diukur berdasarkan statistik jenayah atau pencapaian operasi semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira tahap keselamatan, kesejahteraan dan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan kepolisan.

Hamzah mula bertugas sebagai Ketua Polis Perlis pada 28 September lalu, menggantikan DCP Datuk Muhammad Abdul Halim yang bertukar ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi), Jabatan KDNKA, dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

Sebelum dilantik menerajui Polis Kontinjen Perlis, Hamzah berkhidmat sebagai Komander 69 Komando (VAT 69), Pasukan Gerakan Khas (PGK), di Ulu Kinta, Perak.

Pengalaman beliau menerajui pasukan elit berkenaan dijangka menjadi kelebihan dalam memperkukuh keupayaan operasi polis, khususnya menangani ancaman keselamatan sempadan utara dan memelihara ketenteraman awam di Perlis.

– SUARA MERDEKA

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content