Arau, 13 Mei 2020 – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melestarikan kerjasama yang telah sekian lama terjalin antara Perlis dan Wilayah Satun sejak ratusan tahun lalu.
Pelbagai program kerjasama dan inisiatif telah dilaksanakan oleh kedua belah pihak yang memberikan impak selain melunaskan tanggungjawab pihak penyumbang melalui MAIPs.
Wilayah Satun merupakan satu daripada 76 wilayah di Thailand terletak di selatan negara itu. Wilayah yang bersempadanan dengan Perlis di Malaysia itu mempunyai 300,000 penduduk meliputi tujuh mukim.
Sebagai negeri paling utara Malaysia yang berjiran di jujuran laut Andaman Thailand, MAIPs menggalas amanah untuk menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang pengurusan hal ehwal Islam dan Bahasa Melayu melalui kerjasama erat antara bersama Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman.
Bermula tahun 2015, pelbagai program telah dilaksanakan melibatkan Wilayah Trang, Krabi, Phuket, Phang Nga, dan Ranong selain Wilayah Satun menjadi urusetia perhubungan.
Selain merupakan wilayah yang paling hampir dengan Perlis, Satun turut mempunyai sejarah hubungan geo-politik dan sosio-budaya antara kedua belah pihak, menjadikannya jambatan penghubung antara Malaysia dan Thailand.
MAIPs telah melaksanakan program Ziarah Mahabbah Ramadan ke Wilayah Satun sejak tahun 2014 dengan mengadakan lawatan imarah setiap bulan Ramadan bermatlamatkan untuk mengukuh silaturrahim antara kedua belah pihak.
Rentetan Perintah Kawalan Pergerakan ekoran penularan pandemik wabak COVID-19, MAIPs terpaksa mengubah kaedah pelaksanakan Program Ziarah Mahabbah Ramadan dengan hanya melaksanakan penyampaian sumbangan kuih raya Produk Usahawan Asnaf MAIPs kepada penduduk Pulau Panjang Satun melalui kerjasama pihak Pejabat Gabenor Satun.
Majlis Simbolik program berkenaan disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Galeri DiRaja, Istana Arau.
Untuk rekod, MAIPs telah melaksanakan Program Ziarah Ramadan ke kawasan Mambang, Pulau Koh Sarai Besar, Pulau Tanjung Keling, Pasir Panjang, Tanjong Po, Che Bilang dan Bagan Belacan.
Tarikh kemaskini: 4/24/2025