KANGAR, 13 Sept — Kemudahan pembelajaran pelajar Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiyah (MADI) dipertingkat menerusi Inisiatif Bilik Ulang Kaji bernilai RM98,125 hasil sumbangan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).
Sumbangan menerusi agihan zakat itu merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MIDF dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), khususnya dalam memperkasakan prasarana pendidikan Islam di negeri ini. DapatkanPeta Dunia
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan kemudahan berkenaan di MADI, baru-baru ini.
Menyambut keberangkatan baginda ialah Pengerusi Lembaga MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat; Ketua Pegawai Eksekutif MIDF, Haji Azizi Mustafa; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor serta Pengetua MADI, Ustaz Zulhilmi Rasid bersama warga sekolah.
Program itu diadakan bersempena rangkaian lawatan turun padang MAIPs bersama kepimpinan MIDF ke beberapa lokasi strategik, institusi pendidikan dan projek kemasyarakatan di seluruh Perlis.
Selain MADI, delegasi MAIPs dan MIDF turut mengunjungi Al-Madrasah At-Tarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) serta Masjid Sirajuddin, Padang Pauh bagi meninjau perkembangan dan keperluan institusi pendidikan serta keagamaan berkenaan.
Siri lawatan diteruskan dengan penyerahan sebuah rumah kediaman hasil sumbangan MIDF di Batu 20, Kok Mak sebagai sebahagian usaha membantu meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan golongan yang memerlukan.
Delegasi kemudian mengunjungi Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis bagi meninjau cadangan pelaksanaan serta potensi impak kerjasama CSR MIDF terhadap pembangunan kawasan berkenaan. DapatkanPeta Dunia
Kerjasama MAIPs dan MIDF itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada bantuan berbentuk kebajikan, malah merangkumi pembangunan prasarana pendidikan, institusi keagamaan, kediaman golongan memerlukan serta pembangunan komuniti.
Pendekatan bersepadu itu mencerminkan usaha kedua-dua pihak memanfaatkan agihan zakat dan program CSR bagi memperkukuh pendidikan Islam serta membantu meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat di Perlis.
Foto: Istana Arau