27 Oktober 2025 | Kangar
Regu Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang C muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Perlis Piala Pusingan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis Edisi Ke-5 selepas menewaskan pasukan MSN Selangor B dalam aksi final yang berlangsung sengit di Dewan Serbaguna MSN Perlis, Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Hadiah kejohanan berkenaan. Keberangkatan baginda diiringi oleh Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, dan disambut oleh Presiden Persatuan Sepaktakraw Perlis (PTSPs), Haji Syed Azmir Haji Syed Ahmad.
Kejohanan anjuran Persatuan Sepaktakraw Perlis (PTSPs) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis ini menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu sukan sepak takraw, di samping mengukuhkan hubungan antara Majlis Sukan Negeri serta kelab-kelab takraw seluruh negara.
Edisi kali ini yang berlangsung pada 25 dan 26 Oktober 2025 menghimpunkan 21 pasukan dari pelbagai negeri dan institusi termasuk Terengganu, Pahang, Selangor, Pulau Pinang, Perlis, Kedah serta institusi pengajian tinggi seperti UiTM Merbok dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Tempat ketiga bersama dimenangi oleh UiTM Merbok dan MSN Selangor A.
Pada majlis penutup, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan piala pusingan dan pingat kepada para pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bersama, sebagai simbol penghargaan atas semangat kesukanan dan usaha gigih yang ditunjukkan sepanjang kejohanan.