KANGAR, 30 Nov. 2019 (Sabtu) – Pelajar dan alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) perlu menjadi antara pencetus ekonomi negara berasaskan teknologi sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan terutama dalam kalangan generasi muda.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ia selaras dengan elemen baharu yang mula mengambil alih fungsi pekerjaan dan sistem sedia seperti bidang teknologi robotik, objek rangkaian internet (IOT), kepintaran buatan (AI), data analitik, pemprosesan imej, dan perisian.
“Berdasarkan dapatan kajian ilmiah, antara kelompok pekerjaan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam pasaran ‘Ekonomi Gig’ berkenaaan ialah ‘deep learning job’ atau kerja-kerja penawaran perkhidmatan mesin data yang semakin mendapat tempat sejajar dengan perkembangan Artificial Intelligence (AI).
“Bidang ini berpotensi melahirkan saintis data dan jurutera perisian di mana teras utamanya ialah kemahiran komputer dan pengaturcaraan seperti Tensorflow, Python, R, Java, Matlab, dan Perl yang nilai bayaran boleh mencecah RM500 bagi sejam perkhidmatan,” titah baginda dalam kenyataan kepada Bernama menerusi aplikasi Whats App di sini.
Baginda bertitah demikian selepas berangkat menyertai delegasi UniMAP ke Ivane Javakhishvili Tbilisi State University (TSU) di Tbilisi, ibu negara Georgia hari ini yang turut disertai anakanda baginda Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni universiti, Prof Mohd Fo’ad Sakdan.
Titah baginda lagi, penawaran bidang teknologi robotik juga tidak ketinggalan sebagai khidmat ketiga terbesar yang menjanjikan bayaran RM400 sejam.
Tarikh kemaskini: 5/2/2025