Melihat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengetuai kayuhan basikal memasuki kampung-kampung menyantuni dan membantu rakyat tanpa sebarang protokol, merupakan pemandangan biasa.
Selain dapat memantau keadaan rakyat dengan lebih dekat di kampung-kampung, ia juga merupakan cara unik baginda untuk menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada insan memerlukan. Ironinya, melalui kayuhan basikal itu, Tuanku Syed Faizuddin dapat menjejaki dan menyantuni asnaf di seluruh pelosok negeri seterusnya menyampaikan sumbangan. Pendekatan tersebut disifatkan cukup ikonik dan sejak lebih 10 tahun lalu, baginda sudah mengetuai sebanyak 978 kayuhan. Malah kayuhan yang diberi nama Program MAIPs Peduli yang diperkenalkan sejak tahun 2013 juga telah berjaya mengagihkan sumbangan agihan zakat sebanyak RM33,195,600 membabitkan 51,028 penerima.
Tahun lalu, Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs telah mengetuai sebanyak 111 kali kayuhan program tersebut dengan menyaksikan seramai 5,563 golongan asnaf disantuni membabitkan agihan sebanyak RM3,894,100. Lazimnya, kayuhan tersebut turut disertai ketua-ketua jabatan seta korporat dan swasta bagi menyampaikan bantuan serta melihat keperluan termasuk di lokasi-lokasi perlancongan dan peniaga kecil. Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, program kayuhan MAIPs Peduli bukan sekadar simbolik, sebaliknya sebuah gerakan transformasi yang melibatkan semua pihak demi membantu asnaf.
Katanya, MAIPs amat beruntung kerana kesemua program melibatkan komitmen penuh daripada Raja Muda Perlis yang ebrangkat sendiri mengetuai program. Ujarnya, pencapaian tersebut membuktikan komitmen MAIPs yang terus turun ke lapangan bersama masyarakat negeri ini. “Saya juga menzahirkan rasa bangga atas dedikasi Tuanku Syed Faizuddin dan sokongan padu pelbagai pihak terhadap program ini. ” Inisiatif ini adalah peluang terbaik bagi mendekati masyarakat dan memahami cabaran mereka secara langsung,” katanya.
Mohd Nazim berkata, menerusi kayuhan tersebut, MAIPs juga dapat menyampaikan bantuan dengan lebih efektif. Katanya, ia juga sebahagian daripada visi MAIPs untuk terus relevan dan disayangi rakyat. “Program ini turut melibatkan kerjasama erat pemimpin kariah seperti amil, pegawai dan ahli jawatankuasa Masjlid selain mendapat sokongan agensi-agensi kerajaan. “Inisiatif ini juga selaras dengan pelan strategik MAIPs untuk mendekati mesyarakat secara langsung dan memperkukuhkan peranan MAIPs dalam pembangunan sosio ekonomi umat Islam di Perlis. “Selain itu, ia juga bagi memastikan golongan asnaf yang memerlukan bantuan di negeri ini terus disantuni” katanya.
*Pendekatan ikonik Raja Muda Perlis bantu rakyat*https://www.utusan.com.my/gaya/2025/01/pendekatan-ikonik-raja-muda-perlis-bantu-rakyat/
Tarikh kemaskini: 3/7/2025