KANGAR, 24 Sept – Pengurusan wakaf perlu berteraskan amanah, integriti, ketelusan dan kecekapan bagi memastikan setiap dana serta aset yang diwakafkan diurus secara profesional dan memberi manfaat optimum kepada masyarakat.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, institusi yang dipertanggungjawabkan mengurus wakaf perlu mempunyai perancangan jelas, sistem pemantauan berkesan serta tadbir urus yang bertanggungjawab bagi memastikan amanah pewakaf sentiasa terpelihara.
Baginda bertitah, kepercayaan masyarakat menjadi asas kepada kelangsungan ekosistem wakaf dan perlu diperkukuh menerusi pengurusan yang telus serta cekap.
“Kepercayaan masyarakat merupakan asas kepada kelangsungan ekosistem wakaf. Tadbir urus yang telus, cekap dan bertanggungjawab akan meningkatkan keyakinan untuk menyumbang serta membuka ruang kepada lebih ramai pihak mengambil bahagian dalam usaha memperkasa wakaf,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan perasmian Seminar “Jom Fahami Wakaf” Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026 di Dewan Warisan di sini. TerokaiSejarah Diraja
Baginda turut menitahkan supaya penggunaan teknologi diperkasa dalam pengurusan wakaf, termasuk bagi tujuan pendaftaran dan rekod aset, pemantauan, pengurusan data serta pelaporan.
Menurut baginda, pendekatan berasaskan teknologi bukan sahaja mampu meningkatkan kecekapan pentadbiran, malah memperkukuh ketelusan apabila maklumat berkaitan dana dan aset wakaf dapat direkod, dipantau serta dilaporkan secara lebih sistematik.
“Kesedaran mengenai wakaf perlu bergerak daripada pengetahuan kepada penghayatan, daripada penghayatan kepada budaya dan akhirnya menjadi amalan dalam kehidupan seharian,” titah baginda.
Keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda Perlis disambut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut hadir Ketua Bahagian Perbankan Pengguna Wilayah Perlis, Pulau Pinang dan Kedah, Malayan Banking Berhad (Maybank), Shukor Mohd Nor.
Seminar anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama MAIPs dan Maybank itu bertemakan “Pemerkasaan Wakaf Melalui Fiqah dan Fatwa ke Arah Pengurusan Wakaf yang Dinamik dan Berimpak”.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat, penjawat awam, tokoh korporat serta pengamal undang-undang Syariah mengenai peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan ekonomi ummah yang dinamik, fleksibel dan mampan.
Seminar itu turut memperluas kefahaman bahawa wakaf tidak hanya terhad kepada bentuk tradisional seperti pembinaan masjid dan tanah perkuburan, sebaliknya boleh merangkumi wakaf tunai, wakaf sementara serta pembangunan aset yang mampu menjana manfaat ekonomi dan sosial secara berterusan.
Kerjasama dengan institusi perbankan seperti Maybank pula memperlihatkan penglibatan sektor korporat dan kewangan Islam dalam memperkukuh ekosistem wakaf, khususnya bagi menyokong kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi di Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyeru semua pihak membina budaya berwakaf yang lebih kukuh, meningkatkan tadbir urus serta meneroka pendekatan kreatif dan strategik dalam membangunkan aset wakaf supaya manfaatnya dapat dinikmati masyarakat secara berterusan.