PADANG BESAR, 1 Disember 2025 — Perlis Inland Port (PIP) di Lembah Chuping melakar sejarah baharu apabila memulakan operasi komersil pertamanya awal pagi ini, menandakan fasa penting pembangunan hab logistik strategik yang bakal mengubah landskap perdagangan di utara negara.
PIP, yang kini telah ditauliahkan, akan beroperasi secara manual pada peringkat awal sebelum berkembang kepada operasi penuh secara berperingkat menjelang Februari 2026. Dibangunkan sebagai pelabuhan darat utama bagi menguruskan pergerakan kargo dan kontena Malaysia–Thailand, kemudahan ini dijangka memperkukuh kedudukan Perlis sebagai pintu perdagangan serantau.
Kemudahan asas termasuk jalan berikat, sambungan landasan kereta api baharu dan infrastruktur terminal kini siap dan mampu mengambil alih sebahagian besar operasi kontena yang sebelum ini bertumpu di Padang Besar Container Terminal (PBCT) yang telah melebihi kapasiti. Dengan kapasiti fasa pertama mencecah 300,000 TEU setahun, PIP dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri melalui pengurangan kesesakan di sempadan dan pewujudan peluang pekerjaan baharu.
Selain itu, PIP berpotensi menjadi nod penting dalam rangkaian perdagangan ASEAN dan laluan Rel Pan-Asia, seterusnya memperkukuh hubungan logistik dengan China. Perkembangan ini turut membuka ruang kepada kemasukan pelaburan baharu dalam sektor logistik, perkilangan dan perkhidmatan sokongan.
Bagaimanapun, pelaksanaan operasi penuh masih bergantung kepada penyempurnaan beberapa aspek teknikal seperti pensijilan sistem isyarat rel (signalling) serta penyelarasan operasi rentas sempadan antara agensi Malaysia dan Thailand.
Perkembangan terkini mengenai projek tersebut dipersembahkan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis, Datuk Shabaruddin Ibrahim kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, sempena lawatan kerja Baginda ke Yard Rel PIP. Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Lawatan diraja itu turut disertai Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail; serta Ketua Pegawai Operasi PIP, Mohamad Ali Abdul Hussain. Dalam tinjauan tersebut, Tuanku Raja Muda melihat sendiri beberapa komponen utama projek termasuk Pintu Masuk Thailand, Inspection Area, Rail Siding, Equipment Shed, Control Tower dan kawasan PIP R&R.
Kerajaan Negeri Perlis, bersama Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) serta pelbagai agensi persekutuan, komited memastikan PIP beroperasi sepenuhnya mengikut jadual, seterusnya melonjakkan ekonomi negeri melalui pembentukan sebuah hab logistik moden yang berdaya saing di peringkat serantau.