Perlis Perlu Manfaatkan Perdagangan Dua Hala Malaysia–Thailand – Raja Muda Perlis

Perlis perlu

BANGKOK, 22 Disember 2025 — Negeri Perlis perlu memberi tumpuan serius dalam memanfaatkan kedudukan strategiknya bagi menarik pelbagai perniagaan baharu menerusi perdagangan dua hala Malaysia–Thailand yang kini mencecah lebih USD24 bilion, titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, kedua-dua negara saling melengkapi dari segi import dan eksport yang seimbang, sekali gus membuka ruang kerjasama ekonomi yang luas merangkumi pelbagai sektor strategik.
“Peluang kerjasama dua hala antara Malaysia dan Thailand amat besar memandangkan Thailand merupakan negara jiran paling hampir dengan Malaysia serta mempunyai jaringan perhubungan yang sangat banyak dan baik,” titah Baginda.

Titah tersebut disampaikan selepas Baginda berkenan melancarkan Promosi Masakan Perlis yang berlangsung selama tiga hari di Restoran Phrigkiao @ Siam, Siam Square, di sini, hari ini.

Turut berangkat mengiringi Baginda ialah Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda kedua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan Baginda disambut oleh Pengarah restoran makanan Thai Halal berkenaan, Muhd Shahrizal, rakyat Malaysia yang menetap di Thailand, bersama rakan kongsinya Sarith, warga tempatan Thailand.

Promosi Masakan Perlis itu dianjurkan oleh pihak pengurusan restoran yang telah beroperasi lebih dua tahun, dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra dan Yayasan Tuanku Fauziah, bertujuan memperkenalkan negeri Perlis sempena Tahun Melawat Perlis 2024–2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Tuanku Syed Faizuddin kini berada di Bangkok sempena Sukan SEA 2025 yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada Sabtu lalu.

Sementara itu, Wan Zaidi Wan Abdullah, yang turut hadir ke program berkenaan, berkata pelbagai bidang kerjasama wajar diterokai termasuk ekonomi, industri tempatan, pendidikan, pelancongan, teknologi pertanian dan pemasaran.

Menurut beliau, dalam sektor pendidikan, Bangkok menempatkan beberapa institusi pengajian tinggi terkemuka seperti Universiti Chulalongkorn yang unggul dalam penyelidikan, alam sekitar dan industri; Universiti Mahidol yang terkenal dalam bidang perubatan; serta Universiti Thammasat dalam jurusan ekonomi dan sains sosial.

Dalam sektor pertanian pula, beliau berkata kerjasama boleh dipertingkatkan merangkumi penyelidikan, pengurusan ladang secara kontrak, pemprosesan hasil serta pemasaran produk pertanian kedua-dua negara.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.