ARAU, 16 Nov – Perlis berpotensi menarik pelaburan baharu dari United Kingdom (UK), khususnya menerusi peluasan operasi syarikat British yang berpangkalan di Malaysia dan selatan Thailand, selain memanfaatkan kepakaran tenaga mahir dalam industri semikonduktor.
Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia, Ajay Sharma CMG turut mencadangkan agar potensi tenaga mahir yang dilahirkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dimanfaatkan bagi memenuhi keperluan industri semikonduktor di United Kingdom.
Usaha itu sekali gus membuka ruang kerjasama lebih luas antara institusi pengajian tinggi dengan sektor industri kedua-dua negara.
Terdahulu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan menerima menghadap Ajay Sharma di Balai Menghadap Biru, Istana Arau, hari ini.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah dan Hajah Sharifah Farah Adriana.
Ajay Sharma yang diiringi isteri, Evren Sharma, berada di Perlis bagi lawatan kerja selama dua hari bermula semalam, dengan memberi tumpuan kepada peluang kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pembangunan ekonomi.
Sepanjang lawatan itu, beliau turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Perlis di Kompleks Seri Putra serta menghadiri taklimat peluang pelaburan negeri oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
Delegasi berkenaan turut melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Sheikh Ahmad dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), selain mengadakan perbincangan bersama wakil enam universiti dan institusi pengajian tinggi di Perlis bagi meneroka kerjasama akademik.
Lawatan ke Pusat Perniagaan Bersepadu (IBC) di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Perlis Inland Port (PIP) dan pekan sempadan Padang Besar pula memberi pendedahan kepada delegasi mengenai potensi Perlis sebagai hab perindustrian, logistik dan perdagangan rentas sempadan.
Ajay Sharma turut menyertai Raja Muda Perlis dalam program Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.
Program itu memberi peluang kepada delegasi mendekati masyarakat setempat serta mengenali keunikan dan tarikan pelancongan negeri berkenaan.
Lawatan berkenaan membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh hubungan Perlis dengan United Kingdom, khususnya dalam menarik pelaburan asing, memperluas jaringan pendidikan antarabangsa serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Perlis.
Foto: Istana Arau