JITRA, 3 Jan (Bernama) — Ternakan kelulut bagi menghasilkan madu asli di Madrasah Tahfiz Taufiqillah di sini, bukan sahaja dapat menampung sebahagian perbelanjaan institusi itu tetapi juga menjadi medium pembelajaran keusahawanan dan kemahiran kepada pelajarnya.
Pengetua Madrasah Tahfiz Taufiqillah Datuk Seri Auzaid Ismail berkata produk madu tersebut dihasilkan sepenuhnya dari ladang kelulut milik pusat tahfiz berkenaan di Kampung Lembah Arang, Wang Tepus, di sini sejak 2015.
“Kebanyakan pelajar di madrasah ini terdiri daripada asnaf. Jadi, walaupun pihak tahfiz ada mengenakan yuran ramai yang tak mampu bayar, saya pula tidak pernah paksa atau meminta pelajar yang tidak mampu ini membayar yuran.
“Dari situ dapat ilham untuk menjana pendapatan sendiri, selain sumbangan infaq daripada pelbagai pihak. Modal untuk memulakan ternakan kelulut ini diperoleh daripada badan zakat,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata perusahaan itu secara tidak langsung memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang pengurusan penternakan kelulut, termasuk teknik penjagaan koloni, proses penyedutan madu serta penghasilan produk hiliran berasaskan sumber semula jadi.
Auzaid berkata penglibatan pelajar dalam aktiviti itu berjaya melahirkan graduan tahfiz yang bukan sahaja menguasai ilmu agama, malah mempunyai kemahiran keusahawanan sebagai nilai tambah dalam kehidupan mereka.
Tambah beliau madu kelulut dipercayai mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan dan produk keluaran pusat pengajian itu boleh dibeli secara dalam talian di platform e-dagang atau boleh terus datang ke madrasah tersebut.
Terdahulu, pusat tahfiz berkenaan menerima kunjungan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat meninjau ladang kelulut tersebut serta merasai kemanisan madu terus daripada sarangnya.
Terdapat lebih 200 sarang kelulut yang mampu menghasilkan antara 200 hingga 300 kilogram madu asli setahun dan dijual pada harga RM180 sekilogram atau RM30 bagi 120 gram.
Selain madu kelulut, pusat tahfiz yang mempunyai lebih 60 pelajar dengan lima tenaga pengajar itu kini sedang meneroka bidang baharu iaitu perusahaan baja pokok bagi meningkatkan pendapatan.
— BERNAMA