Kangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memaklumkan bahawa Pusat Islam Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Ibadan, Nigeria yang dibina hasil sumbangan MAIPs telah siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada hari Jumaat.
Dalam kenyataan hari ini, pembinaan pusat ini direalisasikan dengan sumbangan RM200,000 daripada MAIPs, yang telah disampaikan oleh Yang DiPertua MAIPs, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Baginda turut diiringi oleh anakandanya, iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail pada 27 Julai 2024 yang lalu di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria.
Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada Yayasan Amal Al Mawaddah yang berpusat di Ibadan, Nigeria dan diterima oleh Pengerusi Yayasan berkenaan, Dr. Abdulrasheed Olatunji serta Timbalannya, Alhaj Ridwan.
Pembinaan pusat ini direalisasikan dengan sumbangan RM200,000 daripada MAIPs yang telah disampaikan oleh Yang DiPertua MAIPs, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Pusat Islam Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dijangka menjadi pusat utama bagi aktiviti keagamaan dan kebajikan di kawasan tersebut. Antara program yang dirancang termasuklah dakwah, kursus syariah untuk imam dan pendakwah, program Ramadan, pembinaan telaga, penajaan anak yatim, pengagihan al-Quran serta pemberian zakat kepada golongan yang memerlukan.
Masyarakat setempat menyambut baik kewujudan pusat ini dan berharap pusat ini dapat terus berkembang sebagai pusat penyebaran ajaran Islam yang murni serta menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh ukhuwah Islamiah di kawasan sekitar tersebut.
Turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Nigeria, TYT Aiyub Omar, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Zakat dan Wakaf Negeri Sokoto, Sadaukin Muhammad Lawal Maidoki, Mufti Perlis, Prof. Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Pada 7 Februari 2025, pusat Islam tersebut telah mengadakan solat Jumaat pertamanya, dengan khutbah disampaikan oleh Dr. Abdulrasheed Olatunji, pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (UniSIRAJ) yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan bernaung sepenuhnya di bawah MAIPs.
Tarikh kemaskini: 3/7/2025