KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri Majlis Ramah Mesra Aildilfitri Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Perlis yang diadakan di perkarangan Pejabat MARA Negeri Perlis di Kangar.
Anakanda baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail turut berangkat ke majlis berkenaan.
Baginda berkenan menarik daun lemang dan memotong kek yang disediakan sebagai simbolik perasmian Majlis Ramah Mesra Aildilfitri MARA pada tahun ini.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengarah MARA Perlis, Mohd Azam Jamaluddin dan dan Pengetua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Beser,i Rizalmi Dahaman serta para pegawai kanan MARA Perlis.
Selepas majlis tersebut Tuanku Raja Muda menitahkan bahawa di bulan Syawal yang mulia ini, kita diingatkan tentang kepentingan untuk terus memberi dan berkongsi rezeki. Berkongsi bersama mereka yang memerlukan bukan sahaja memberikan mereka kegembiraan, tetapi juga menguatkan ikatan kita sebagai sebuah masyarakat sejahtera. Marilah kita sama-sama renungkan betapa beruntungnya kita, dipilih Allah untuk membantu mereka yang memerlukan.
Baginda juga menyeru kepada semua agar terus menerus memberikan sokongan kepada institusi-institusi dan program yang memberi perlindungan dan pendidikan kepada anak-anak asnaf di mana sahaja dan bukan bermusim sekadar pada bulan Ramadan. Mereka adalah masa depan kita, dan sudah pasti menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan mereka mendapat peluang yang sama dalam melayari bahtera kehidupan.
Tarikh kemaskini: 4/21/2025