SHAH ALAM, 19 Okt. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap kerjasama strategik antara Pustaka Raja Tun Uda di Selangor dengan perpustakaan negeri serta institusi pengajian tinggi (IPT) di Perlis dapat diwujudkan dalam masa terdekat bagi memperkasakan budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.
Baginda bertitah demikian susulan lawatan ke Pustaka Raja Tun Uda di Shah Alam, Sabtu lalu, yang membuka ruang kepada usaha memperluas akses pendidikan, teknologi dan pembelajaran kreatif kepada masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
Antara institusi yang berpotensi menjalin kerjasama itu ialah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM), Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).
Kerjasama berkenaan turut diharap dapat melibatkan Perpustakaan Negeri Perlis, khususnya perpustakaan desa terpilih, bagi membolehkan masyarakat luar bandar menikmati kemudahan pembelajaran yang lebih moden dan inklusif.
Terdahulu, keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin Putra disambut Pengarah Pustaka Raja Tun Uda, Datin Paduka Mastura Hj. Muhamad dan Ahli Lembaga Pengarah, Dr. Ghazali Mohamed Fadzil.
Dalam lawatan itu, baginda berkenan meninjau pelbagai kemudahan yang disediakan perpustakaan berkenaan, termasuk penggunaan teknologi moden dan pendekatan pembelajaran kreatif yang menjadikannya antara mercu tanda pendidikan serta pembangunan komuniti di Selangor.
Pustaka Raja Tun Uda yang memiliki koleksi lebih 400,000 buku bukan sekadar berfungsi sebagai pusat rujukan dan pembacaan, malah berkembang sebagai hab komuniti yang menggabungkan pendidikan, kreativiti, teknologi dan kesejahteraan masyarakat.
Antara kemudahan yang menarik perhatian ialah zon kreatif dan multimedia, bilik perbincangan, ruang makerspace, studio produksi serta akses Wi-Fi percuma yang membolehkan pengunjung meneroka ilmu dan menghasilkan kandungan kreatif.
Perpustakaan itu turut menyediakan panggung wayang interaktif 3D dan 6D, gimnasium mini, ruang pembelajaran khusus kanak-kanak serta kemudahan bacaan mesra golongan kurang upaya penglihatan.
Kepelbagaian kemudahan tersebut memperlihatkan perubahan peranan perpustakaan daripada tempat penyimpanan dan pembacaan buku kepada pusat pembangunan kemahiran, inovasi dan interaksi sosial yang boleh dimanfaatkan masyarakat pelbagai peringkat umur.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang sentiasa memberikan perhatian terhadap pembangunan pendidikan dan pembudayaan ilmu dalam kalangan rakyat Perlis melihat pendekatan seumpama itu berpotensi dijadikan model bagi meningkatkan fungsi perpustakaan negeri dan desa.
Melalui kerjasama strategik yang dicadangkan, perpustakaan di Perlis berpeluang memperluas perkhidmatan dan memperkenalkan aktiviti pembelajaran berasaskan teknologi serta kreativiti, sekali gus merapatkan jurang akses ilmu antara masyarakat bandar dengan luar bandar.
Pustaka Raja Tun Uda dibuka kepada orang ramai setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang, kecuali cuti umum, dan menjadi antara destinasi tumpuan keluarga serta pelajar, khususnya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.