Raja Muda Perlis sempurnakan majlis santapan malam konvokesyen ke-21 UniMAP

Raja Muda Perlis sempurnakan majlis santapan malam konvokesyen ke 21 UniMAP

KANGAR, 14 Nov – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Santapan Malam sempena Istiadat Konvokesyen Ke-21 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Elissa Garden Hall, di sini malam ini.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan sambutan Jubli Perak sempena ulang tahun ke-25 penubuhan UniMAP, sekali gus meraikan perjalanan dan pencapaian universiti itu dalam bidang pendidikan tinggi.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, selaku Tuanku Pro Canselor UniMAP, serta anakanda baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Pro Canselor UniMAP dan Hajah Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Tan Sri Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli serta barisan pengurusan tertinggi universiti.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts Dr Aminuddin Hassim.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Tuanku Canselor UniMAP berkenan menyempurnakan penyampaian enam kategori anugerah kecemerlangan akademik kepada 12 penerima.

Anugerah berkenaan merangkumi Anugerah Pelajaran Diraja, Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Naib Canselor, Anugerah Pingat Emas Naib Canselor (Tesis Terbaik Ijazah Doktor Falsafah), Anugerah Pingat Emas Naib Canselor (Tesis Terbaik Ijazah Sarjana) serta Anugerah Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Terbaik Program Pengajian Mod Campuran.

Baginda turut berkenan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara UniMAP dengan tiga institusi pendidikan tinggi antarabangsa, iaitu Universitas Islam Riau, Indonesia; Khwaja Yunus Ali University, Bangladesh; dan Shinshu University, Jepun.

Kerjasama strategik itu turut melibatkan tujuh rakan industri, iaitu PPK Technology, ADA Biotech Sdn Bhd, Medical Device Authority, Famax Technology Sdn Bhd, SanDisk Storage Malaysia Sdn Bhd, Walta Engineering Sdn Bhd dan Mikro MSC Berhad.

Jalinan kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen UniMAP dalam memperluas jaringan antarabangsa serta memperkukuh hubungan dengan industri bagi menyokong pembangunan pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi dan kebolehpasaran graduan.

Sempena sambutan Jubli Perak itu, UniMAP turut mengundang mantan pengerusi lembaga pengarah universiti, naib canselor, timbalan naib canselor, pendaftar, bendahari, ketua pustakawan dan penasihat undang-undang.

Majlis santapan malam berkenaan bukan sahaja menjadi wadah penghargaan terhadap kecemerlangan akademik graduan, malah memperkukuh hubungan antara universiti, kerajaan, industri dan institusi pendidikan tinggi dalam mendepani cabaran masa hadapan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content