3 Disember 2025.
Kuala Perlis.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menyeru agar semua pihak sama ada agensi kerajaan, syarikat korporat mahupun individu terus memupuk budaya menyalurkan sumbangan dalam bentuk zakat, sedekah, wakaf atau tenaga kepakaran.
Baginda menekankan bahawa sumbangan berterusan mampu memberikan impak yang berkekalan terhadap pembangunan insan dan kesejahteraan negeri.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menegaskan bahawa zakat perniagaan bukan sekadar tuntutan ibadah, malah merupakan satu bentuk tanggungjawab sosial korporat. Apabila syarikat menunaikan zakat secara berterusan dan berintegriti, ia mencerminkan kesepaduan antara tanggungjawab spiritual dan peranan sosial dalam membantu masyarakat yang memerlukan.
“Saya menggalakkan syarikat, organisasi dan individu untuk terus memperluaskan amalan berinfaq dalam apa jua bentuk. Amalan memberi bukan sahaja membersihkan harta dan jiwa, tetapi turut memperkukuh rangkaian kebajikan yang membantu mereka yang berada dalam kesusahan serta meningkatkan ketahanan sosial negeri”.
Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dititahkan oleh Tuanku Raja Muda Perlis ketika Baginda berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Kuala Perlis baru-baru ini.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Dalam program tersebut seramai 80 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Seberang Ramai menerima RM500 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan sumbangan MAIPs bernilai RM40,000 pada edisi kali ini.