Oleh: Sholina Osman
Foto: Istana Arau
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Ladang Kelapa dan Durian milik Syarikat Usahasama Impianan Utara (PS) Sdn. Bhd. dan Koperasi Generasi FELDA Baru Berhad (KGFB) yang terletak di tanah milik Perlis Integrated Technology Complex (PITC), Felda Chuping.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengerusi Impianan Utara (PS) Sdn. Bhd., Datuk Syed Tajul Arif Syed Baharoon Aljumlud.
Turut berangkat sama adalah anakanda-anakanda Baginda berdua, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
EMPAT LOKASI UTAMA
Lawatan dimulakan dengan tinjauan sekitar ladang menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4×4) di empat lokasi utama yang menempatkan kawasan tanaman kelapa Pandan, ladang durian Musang King, sempadan antara varieti ‘Musang King’ dan ‘Black Thorn’, serta kawasan peralatan dan jentera pertanian.
Projek pertanian bersepadu ini melibatkan kawasan seluas 227 ekar dan dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Impianan Utara Plantations Sdn. Bhd. dan Koperasi Generasi FELDA Baru Berhad (KGFB).
Ia merangkumi dua komponen utama, iaitu tanaman Kelapa Pandan seluas kira-kira 147 ekar dengan lebih 23,000 pokok yang mula ditanam pada tahun 2022 dan dijangka mengeluarkan hasil pada tahun 2027, serta tanaman Durian Musang King dan Black Thorn di kawasan seluas 80 ekar yang menempatkan lebih 2,000 pokok keseluruhan dengan hasil dijangka bermula antara tahun kelima hingga ketujuh.
BERPOTENSI MENJADI PEMANGKIN
Dalam sesi sembah taklimat yang dipersembahkan oleh Syed Tajul Arif kepada Duli-Duli Tuanku, dimaklumkan bahawa projek ini berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri Perlis melalui penghasilan tanaman bernilai tinggi.
Ia bukan sahaja membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan, malah turut memperkukuh jenama agro Perlis di peringkat antarabangsa, khususnya untuk pasaran eksport ke China.
Beliau turut mempersembahkan perancangan masa depan projek termasuk cadangan pembangunan fasa baharu tanaman durian Black Thorn seluas lebih 300 ekar bagi menjadikan Perlis sebagai hab baharu durian premium di utara Malaysia.
Selain itu, turut dirancang pembangunan Zon Agro-Pelancongan seluas 45 ekar yang akan menempatkan pusat pelancongan tani, penginapan inap desa dan chalet, pusat pameran buah-buahan eksotik, serta aktiviti pendidikan dan rekreasi berasaskan pertanian.
Perancangan ini seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri dan visi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail untuk menjadikan sektor agro-pelancongan sebagai pemacu ekonomi baharu negeri, selaras dengan arah tuju pembangunan mampan dan berimpak tinggi. – JM