PAUH PUTRA, 5 April (Bernama) – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat ke Konsert DiRaja Perlis 2026 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Perlis di sini malam tadi.
Konsert berkenaan merupakan acara kemuncak sambutan Jubli Perak sempena genap 25 tahun pemerintahan baginda sebagai Raja Perlis, yang berlangsung dari 17 April tahun lalu hingga 17 April ini.
Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis merangkap Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, selain Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Hadir sama, Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Abdul Halim Hamzah, Naib Canselor UniMAP Zaliman Sauli serta Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis memaklumkan konsert berprestij itu bukan sekadar persembahan hiburan, sebaliknya manifestasi rasa syukur dan penghargaan rakyat terhadap 25 tahun pemerintahan baginda yang disifatkan penuh kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan.
Konsert tersebut menampilkan barisan artis terkenal tanah air termasuk Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Amy Search, Liza Hanim, Wany Hasrita, Haziq Rosebi, Aina Abdul, Amir Masdi dan Khai Bahar.
Persembahan turut diiringi Orkestra RTM melibatkan 32 pemuzik di bawah pimpinan Hadi Maswardi Mohamed Amin, sekali gus menambah nilai artistik dan keindahan muzik sepanjang acara berlangsung.
Rakaman konsert itu akan disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia di saluran TV2 pada jam 9 malam, 11 April ini.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia