Oleh: Sholina Osman
8 DIS. 2025
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru agar gerakan dakwah di negeri ini terus diperkasakan melalui semangat toleransi, perpaduan dan kasih sayang.
Baginda menegaskan bahawa dakwah bukan sekadar penyampaian ilmu atau ajakan kepada kebaikan, tetapi merangkumi pembinaan akhlak yang luhur, penyatuan hati umat serta usaha menzahirkan keindahan Islam sebagai agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam.
Menurut Tuanku Syed Sirajuddin, dalam era moden yang sarat dengan pengaruh digital, kekeliruan moral dan cabaran pemikiran, para da‘i perlu tampil dengan kebijaksanaan, kesabaran dan strategi yang berkesan.
PENDEKATAN BERTERASKAN ILMU
Dakwah masa kini menuntut pendekatan berteraskan ilmu, hikmah dan kasih sayang supaya mesej Islam dapat disampaikan secara lebih efektif dan berkesan kepada masyarakat.
Titah tersebut disampaikan Tuanku Raja ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Persidangan Da’wah Serantau ke-11 yang berlangsung di Kangar.
Keberangkatan Baginda disambut oleh Pengerusi MyGuide Malaysia, Nicholas Sylvester, serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
MENGHIMPUNKAN INSTITUSI DAKWAH
Persidangan ini merupakan platform serantau yang menghimpunkan institusi dakwah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), cendekiawan dan aktivis Islam dari seluruh Asia Pasifik.
Persidangan ini berperanan penting dalam memperkukuh jaringan, memperluaskan perkongsian ilmu serta menggerakkan kerjasama strategik demi memperkasa ummah.
Antara sesi utama yang mendapat perhatian ialah perbincangan bertajuk “The Sustainability of Da’wah Institution”, yang menekankan keperluan merangka strategi jangka panjang bagi menjamin kelangsungan institusi dakwah dan NGO Islam. – JM