ARAU, 14 Okt – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima sembah mengadap delegasi Universiti Sains Malaysia (USM) di Balai Menghadap Biru, Istana Arau, baru-baru ini. Lawatanlokasi penggambaran
Delegasi berkenaan diketuai Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (BOG) USM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Hassan Said.
Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama barisan pengurusan kanan universiti berstatus APEX itu.
Dalam sesi mengadap berkenaan, delegasi USM mempersembahkan perkembangan terkini persiapan Majlis Konvokesyen USM yang dijadual berlangsung pada November ini.
Tuanku Syed Sirajuddin yang juga Canselor USM turut berkenan menerima sembah taklimat mengenai perkembangan semasa universiti, termasuk usaha memperkukuh kecemerlangan institusi pengajian tinggi berkenaan.
Pertemuan itu turut mencerminkan hubungan erat antara USM dengan Institusi Diraja Perlis, khususnya dalam memperkasakan pendidikan tinggi, pembangunan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan akademik.
Hubungan berterusan berkenaan juga memperlihatkan komitmen Institusi Diraja Perlis dalam mendukung kemajuan pendidikan tinggi negara dan pembangunan modal insan berkualiti.
Foto: Istana Arau