KANGAR, 14 Jun 2025 – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan menerima sesi sembah mengadap daripada delegasi pengurusan tertinggi RHB Islamic Bank Berhad, yang diketuai Pengarah Urusan, Datuk Adissadikin Ali, pada malam Khamis di Kangar.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berangkat dalam sesi tersebut yang berlangsung dalam suasana penuh hormat dan mesra.
Turut hadir dalam delegasi RHB Islamic ialah:
Ahmad Mukarrami Ab Mumin, Ketua Kumpulan Perundingan Shariah
Muhammad Farhan Mohad Akran, Ketua Pusat Perniagaan Perbankan Komersial (CBCC) Islam
Nor Azlan Uzil, Ketua Seksyen Ekosistem Pendidikan
Mohd Noor Mohd Akhir, Pengurus Cawangan Kangar
Kunjungan hormat ini adalah sebahagian daripada lawatan kerja dua hari delegasi RHB Islamic Bank ke Perlis yang melibatkan penglibatan dalam pelbagai aktiviti zakat dan kemasyarakatan bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Lawatan ini memperkukuh kerjasama strategik antara sektor kewangan Islam dengan institusi agama negeri dalam memperkasa kesejahteraan komuniti asnaf dan pembangunan masyarakat secara holistik.