KANGAR: Sebanyak RM7.2 juta akan disalurkan kepada rakyat di Perlis menerusi menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam mendepani sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ yang sedang dihadapi oleh masyarakat di negara ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah bantuan berkenaan mendapat perkenan baginda Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
“Bantuan berkenaan disalurkan bagi menjayakan pelbagai inisiatif dalam membantu golongan asnaf di negeri ini yang terjejas teruk, berikutan arahan kerajaan berkenaan yang berkuatkuasa 1 Jun lalu.
“Dalam hal ini, MAIPs amat menjunjung kasih atas limpah kurnia baginda yang memperkenankan perutukan khas yang amat besar ini serta berbaiah setia untuk terus menjung titah dan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh baginda Raja Perlis,” titah baginda dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.
Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, inisiatif yang dirancang itu akan diperincikan kelak untuk tindakan pelaksanaan dan diharapkan dapat meringankan beban hidup hidup rakyat di negeri ini.
“Pelbagai inisiatif yang dirancang akan diperincikan kemudian untuk tindakan pelaksanaan di mana ia diharapkan akan mampu meringankan beban hidup kepada mereka yang berkeperluan seperti mana yang diharapkan oleh penyumbang zakat melalui MAIPs.
“Selain itu juga, melalui jumlah peruntukan itu, MAIPs sudah mengenal pasti beberapa inisiatif sebagai persediaan sekiranya terdapat kehendak baru seperti contoh jika berlakunya perlanjutan tempoh ‘lockdown’ atau terdapat keperluan wajar yang lain,” titahnya.
Titahnya lagi, MAIPs akan mengumumkan mengenai pengagihan sumbangan dan pelaksanaan inisiatif yang sudah dikenalpasti secara khusus dalam sedikit masa lagi.
“Malah, MAIPs akan sentiasa berusaha memastikan segala inisiatif yang dilaksanakan ini.
“Selain itu, MAIPs juga akan mengambil kira pelbagai faktor, termasuklah keadaan semasa dan keperluan mendesak yang akan memberi manfaat kepada mereka yang disasarkan,” jelas beliau.
Tarikh kemaskini: 4/22/2025