Semat roh UniMAP di dalam sanubari – titah Raja Muda Perlis

ARAU: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan supaya sematlah Roh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam diri setiap warga universiti berkenaan dan ia bukanlah hanya sekadar satu semangat retorik, tetapi ia satu pegangan hati dan prinsip hidup yang merangkumi komitmen terhadap kecemerlangan akademik, semangat inovasi berterusan, integriti dalam setiap tindakan, serta keazaman untuk menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara.

“Roh UniMAP sewajarnya sentiasa tersemat utuh dalam sanubari setiap daripada kita. Hanya dengan semangat yang bersatu, jiwa yang kental, dan rasa hormat terhadap diri sendiri, barulah kita mampu melangkah sederap dalam merealisasikan aspirasi universiti sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang unggul, dinamik, dan berdaya saing di persada global”, titah Baginda lagi.

Tuanku Raja Muda juga bertitah agar setiap warga UniMAP tanpa mengira peranan dan kedudukan sama ada dalam kalangan pentadbiran, tenaga pengajar, kakitangan pelaksana, para pelajar mahupun alumni mestilah sentiasa menjunjung tinggi semangat kebersamaan dan jati diri sebagai warga UniMAP yang sejati, dengan menghayati serta mengamalkan nilai-nilai murni yang telah menjadi tunjang kekuatan universiti ini sejak penubuhannya.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Canselor UniMAP ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Anugerah Seri Gemilang UniMAP 2024 di Dewan Kecemerlangan, Kampus Alam, Pauh Putra.

Turut berangkat mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Tuanku Pro-Canselor UniMAP.

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UniMAP, Tan Sri Datuk Sri Sufri Hj. Mhd Zin dan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli.

Dr. Zaliman dalam ucapan aluannya menyatakan, majlis ini adalah usaha universiti untuk menunjukkan penghargaan kepada warga kerja yang menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan UniMAP sepanjang tahun 2024.

Naib Canselor UniMAP itu turut menekankan agar dalam kesibukan melunaskan tugasan, jangan lupa bahawa kekuatan sebenar terletak pada kebersamaan. Seperti pepatah Inggeris menyebut, “If you want to go fast, go alone. If you want to go far, go together.” Bersama, kita mampu melangkah lebih jauh dan mencipta kejayaan yang lebih bermakna.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada seramai 27 orang penerima. Manakala, seramai 38 orang lagi turut menerima anugerah yang disempurnakan oleh Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Seramai 168 orang warga cemerlang Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah dipilih untuk menerima Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang (AKPC) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2024.

Pemilihan penerima anugerah ini adalah berdasarkan sumbangan cemerlang dan prestasi luar biasa mereka, yang menjadi lambang penghargaan UniMAP terhadap dedikasi dan komitmen tinggi dalam memperkasa kecemerlangan institusi.

Anugerah ini turut mengiktiraf usaha gigih serta khidmat bakti yang telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan universiti.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content